ZII Jia tewas pada perlawanan pertama. FOTO AFP
ZII Jia tewas pada perlawanan pertama. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian skuad Piala Thomas negara di Aarhus, Denmark untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tersungkur kepada Indonesia 0-3.

Percaturan negara bermula dengan perseorangan negara Lee Zii Jia yang turun selaku pemain pertama tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 17-21 dalam tempoh 51 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Anthony yang menghuni ranking kelima dunia melebarkan rekod kemenangannya 3-1 ke atas Zii Jia.

Cabaran negara diteruskan oleh beregu lelaki negara yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terpaksa akur dengan kekalahan kepada beregu nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun berjaya membawa perlawanan ke set penentuan sebelum tunduk 17-21, 21-16, 15-21 selepas bertarung selama satu jam empat minit.

Ng Tze Yong yang menghuni ranking ke-82 perlu menang untuk menghidupkan peluang negara bagaimanapun gagal menandingi ketangkasan pemain di ranking ketujuh dunia, Jonatan Christie.

Tze Yong memberi sedikit harapan buat negara apabila menang set pertama 21-14. Dia bagaimanapun tewas di set kedua dan penentuan 19-21, 16-21 selepas beraksi selama satu jam 15 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 11:29 PM