NG Tze Yong. FOTO BAM
NG Tze Yong. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Dia pengganti saya."

Itu reaksi ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap pemain perseorangan, Ng Tze Yong yang mempamerkan aksi menarik ketika menentang pemain ketujuh dunia, Jonatan Christie pada perlawanan suku akhir Piala Thomas bertemu Indonesia baru-baru ini.

Chong Wei berkata, walaupun tewas kepada Jonatan, corak permainan ditampilkan pemain ranking 82 dunia itu yang kekal tenang dan bijak memerangkap lawan dilihat boleh pergi jauh atau mengecapi kejayaan pada kejohanan besar akan datang.

Beliau berkata, pemain muda berusia 21 tahun itu hanya memerlukan lebih banyak pendedahan di kejohanan besar dan perbaiki beberapa kelemahan sekali gus bakal menggegarkan arena badminton dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Katanya, secara keseluruhan pada perlawanan Piala Thomas baru-baru ini, barisan pemain muda tampil meyakinkan dan tidak mudah mengaku kalah walaupun mengetahui lawan berada pada ranking terbaik dunia.

"Semua pemain muda terutama Tze Yong mempunyai masa depan cerah dan perjalanan mereka masih lagi jauh seterusnya banyak perkara boleh belajar.

"Saya boleh katakan jika Tze Yong mampu mengekalkan momentum sekarang ini dan pertingkatkan lagi corak permainan mungkin tidak salah jika dia boleh menggantikan saya menjadi antara pemain perseorangan terbaik dunia.

"Kita boleh melihat dua atau tiga tahun lagi, barisan pemain muda ini akan menjadi antara digeruni lawan kerana sudah mampu bersaing dengan kuasa besar badminton lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, skuad Piala Thomas negara gagal mara ke separuh akhir apabila tersungkur kepada Indonesia 0-3.

Lee Zii Jia yang turun selaku pemain pertama tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 17-21 dalam tempoh 51 minit.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 21-16, 15-21 kepada beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Namun paling mencuri tumpuan adalah Tze Yong walaupun tewas 21-14, 19-21, 16-21 kepada Jonatan, mampu memberi tentangan sengit kepada pemain lawan itu.

Indonesia muncul juara Piala Thomas selepas menewaskan China 3-0 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 11:10 PM