CHONG Wei (kiri) menjawab soalan pada sidang media bersama Norza, semalam. FOTO FATHIL ASRI
CHONG Wei (kiri) menjawab soalan pada sidang media bersama Norza, semalam. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui hatinya sakit menyaksikan kemelut atau isu melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Malah, kritikan dan cacian di media sosial menambah lagi duka bekas pemain nombor satu dunia itu yang melihat netizen seolah-olah mahu meniup lagi sentimen kebencian tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik konflik antara Misbun dan BAM.

Chong Wei berkata, Misbun dan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria adalah antara watak penting membentuknya menjadi pemain perseorangan digeruni di arena antarabangsa.

"Saya mengakui apa yang Tan Sri (Norza) cakap adalah betul, ketika dia bawa Datuk Misbun (ke dalam BAM), kami tidak mempunyai banyak penaja dan Tan Sri sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaannya.

"Dengan itu barulah masa depan saya ada dan saya boleh katakan yang keputusan Tan Sri itu adalah untuk kebaikan badminton negara, untuk menghasilkan bukan sahaja Lee Chong Wei kedua, tetapi mungkin lima atau enam pemain lagi.

"Saya menjadi saksi dan lihat sendiri Tan Sri (menawarkan kontrak) di rumahnya (Misbun). Tan Sri bayar sendiri guna wangnya untuk pastikan kita ada pemain terbaik," katanya pada sidang media, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan BAM mengambil pendekatan muhibah apabila berdamai seterusnya memohon maaf kepada Misbun di atas kemelut yang tercetus sejak lima hari lalu.

Tampil untuk menjernihkan keadaan, Norza berkata, apa yang tercetus ketika ini adalah kerana masalah komunikasi dan dia tampil membuat keputusan dengan menyediakan dua tawaran kepada Misbun.

Dalam satu sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam, Norza berkata, tawaran itu adalah untuk memberikan Misbun kuasa kembali mengendalikan skuad perseorangan remaja sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini, sekali gus memimpin skuad remaja negara ke Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober 2023.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tawaran kepada Misbun untuk terus mengendalikan skuad perseorangan remaja sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini, Chong Wei berkata, keputusan itu terletak kepada bekas jurulatihnya untuk menerima atau sebaliknya.

"Berkaitan tawaran diberikan Tan Sri itu, perlu diberikan kepada Datuk Misbun untuk membuat keputusan.

"Isu ini memang membuat saya agak sakit hati kerana badminton sentiasa ada dalam darah saya dan saya pernah 19 tahun dalam BAM. Tiada orang lain lebih lama daripada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:19 PM