KHIDMAT Misbun tidak lagi diperlukan BAM.
KHIDMAT Misbun tidak lagi diperlukan BAM.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Mungkin jika ada pertemuan empat mata antara bekas pengendali perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pertikaian antara kedua-dua belah pihak sudah menemui jalan penyelesaian.

Hampir dua minggu selepas isu membabitkan penamatan kontrak Misbun berlaku, legenda badminton negara itu masih menyepi.

BAM juga hanya akan memaklumkan isi kandungan surat balas dari Misbun berhubung tawaran yang diberikan kepadanya minggu depan.

Namun menurut sumber dikhabarkan Misbun tidak berminat dengan tawaran dihulurkan BAM untuk beliau menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat, hujung tahun ini.

Bagi pembantu peribadinya, Nor Kamal Ahmad yang menyaksikan hubungan istimewa antara Misbun dan Norza, sebenarnya untuk menjernihkan kembali hubungan istimewa itu, pertemuan empat mata perlu berlaku.

Bagaimanapun, sebaliknya apabila hingga kini tiada sebarang pertemuan membabitkan dua ikon sukan negara itu.

"Kalau melihat dari segi kemurungan Datuk Bun yang tak nak bercakap apa-apa mungkin masih sedih sebenarnya. Terguris di dalam itu (hati). Semua orang tahu Datuk Bun ini terlalu sensitif orangnya.

"Dia kalau boleh nak hilang saja, tapi bila dia minta saya aturkan sidang media tempoh hari, mesti ada petanda. Jadi bagi saya perlu ada pertemuan antara kedua-dua belah pihak (Misbun dan Norza) kerana hubungan istimewa itu. Itu yang dinantikan. Saya sendiri juga mengharapkan ia perlu berlaku. Mungkin jika berlaku ia perkara baik untuk kita semua," katanya.

Kamal antara individu yang menyaksikan termeterinya perjanjian antara Misbun dan Norza untuk kembali ke BAM sebagai jurulatih pada 2017.

Perjanjian berkenaan turut disaksikan Datuk Lee Chong Wei yang menyaksikan Misbun kembali menerima tawaran dari BAM selepas meninggalkan badan induk itu sebelum ini.

Terdahulu Norza dalam satu sidang media khas yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) membuat tawaran untuk memberikan Misbun kuasa kembali mengendalikan skuad perseorangan remaja sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini untuk dia memimpin skuad remaja negara ke Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober 2023 .

Sekiranya beliau menolak tawaran pertama, Misbun boleh bertemu dengan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 3:34 PM