MISBUN mohon diberi sedikit ruang. -FOTO NSTP
MISBUN mohon diberi sedikit ruang. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sedikit ruang masa diperlukan oleh legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek bagi meneliti tawaran kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad berkata, Misbun sudah menerima surat tawaran yang dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai menerusi emel.

"Saya dimaklumkan oleh Misbun yang beliau sudah menerima surat tawaran berkenaan menerusi emel yang dihantar oleh Michelle. Cuma, surat fizikal saya akan ambil nanti pada Isnin ini.

"Sekarang ini, Misbun masih lagi dalam tempoh bertenang dan beliau minta diberikan sedikit masa bagi meneliti secara terperinci kandungan tawaran berkenaan.

"Sama ada beliau menerima atau sebaliknya, itu terserah kepada Misbun sendiri untuk menentukannya," kata Kamal ketika dihubungi.

Michelle menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada Misbun sama ada menerima atau menolak tawaran terbabit.

Sebelum ini, Misbun 'terasa hati' terhadap tindakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang seolah-olah lepas tangan selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Untuk menjernihkan keadaan, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun tampil membuat permohonan maaf sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak sehingga wujudnya konflik.

Malah, Norza berbesar hati menawarkan Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda supaya tiada pihak teraniaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:55 PM