MISBUN dipelawa berkhidmat semula dengan BAM.
MISBUN dipelawa berkhidmat semula dengan BAM.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saling bermaaf-maafan membabitkan bekas pengendali perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bererti legenda terbabit akan menerima tawaran badan induk badminton negara itu untuk 'rujuk semula'.

Menurut adik Misbun Datuk Seri Jalani Sidek yang cukup mengenali abangnya berkata, mungkin berat hati untuk legenda badminton negara itu kembali meneruskan semula kerjanya bersama badan induk terbabit selepas berpisah buat kali ketiga.

"Untuk Bun (Misbun) balik saya tidak nampak, itu daripada pandangan saya, sebab hatinya terguris cukup dalam. Anda tahu bukan Misbun bukanlah jenis orang yang suka melakukan sidang media, lebih baik dia pendam dan pergi sahaja.

"Tetapi mungkin, kita tidak tahu dia dan Tan Sri Norza berjumpa untuk berbincang daripada hati ke hati, itu kita tidak tahu," jelas Jalani ketika dihubungi, sebentar tadi.

Terdahulu, petugas media berkampung di hadapan kediaman Misbun sejak awal pagi tadi untuk mendapat maklum balas tawaran dikemukakan BAM, namun tiada kelibat jurulatih itu.

Namun, pengurus peribadi Misbun Nor Kamal Ahmad tampil menjelaskan legenda badminton negara itu masih menanti surat rasmi tawaran daripada BAM sebelum membuat keputusan lanjut.

Sebelum ini, Misbun 'terasa hati' terhadap tindakan Norza seolah-olah lepas tangan selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Berikutan itu,Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun tampil membuat permohonan maaf sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak menyebabkan wujudnya konflik antara mereka.

Malah, Norza juga berbesar hati menawarkan Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda supaya tiada pihak teraniaya.

Mengikut rekod, Misbun kembali semula berkhidmat bersama badan induk itu pada 2017 selepas dipujuk bekas anak muridnya, Datuk Lee Chong Wei bagi mengembalikan semula kegemilangannya badminton Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:49 PM