MISBUN ditamatkan kontrak baru-baru ini. FOTO BAM
MISBUN ditamatkan kontrak baru-baru ini. FOTO BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kem jurulatih perseorangan remaja negara ibarat 'kapal tanpa nakhoda' sejak ketiadaan Pengarah Kejurulatihan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek yang kontraknya ditamatkan baru-baru ini.

Jurulatih perseorangan remaja negara Mohd Hazwan Jamaluddin berkata beliau bersama dua lagi rakan sejawatnya, Misbun Ramdan Misbun dan Goh Giap Chin terpaksa berbincang sesama sendiri sebelum membuat keputusan berkaitan skuad itu.

"Kami tidak membuat keputusan secara berseorangan, segala perkara akan dibincang dahulu sebelum keputusan diambil," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Misbun difahamkan menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.

Sementara itu, Mohd Hazwan menyifatkan tindakan BAM membenarkan pemain remaja berlatih bersama kem senior sebagai langkah positif dalam usaha membantu pemainnya menghadapi Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington dari 25 Sept hingga 8 Okt ini.

Katanya, memandangkan BAM masih belum menyenaraikan pemain ke Washington, beliau akan memilih pemain yang mempamerkan komitmen dan disiplin tinggi dalam sesi latihan untuk dibawa ke kejohanan itu.

Mengenai undian Kejohanan Remaja Dunia di Washington, beliau berharap para pemain akan memberikan aksi terbaik dan mengingatkan skuad negara agar berwaspada dengan cabaran lawan memandangkan rentak permainan mereka masih sukar dibaca.

Undian dijalankan pada Rabu lepas menyaksikan skuad campuran negara yang juga pilihan ketiga kejohanan diletakkan dalam Kumpulan C bersama England, Latvia dan Poland.

Hanya juara kumpulan layak ke suku akhir.

Malaysia gagal ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tangga kesembilan menumpaskan Denmark 4-1.

Lebih menyedihkan apabila buat kali pertamanya tiada pemain negara layak ke suku akhir dalam acara perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 5:46 PM