GUARDIOLA tetap waspada tanggapan pihak luar terhadap City. FOTO/AGENSI
GUARDIOLA tetap waspada tanggapan pihak luar terhadap City. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau belum pasti sama ada skuad kendaliannya bersedia untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL), musim ini.

Guardiola mengemudi juara Inggeris itu ke peringkat suku akhir musim lalu dan hampir menyamai rekod terbaik kelab yang mara ke separuh akhir pada musim 2015-16.

City dilabel antara calon pilihan untuk sekali lagi mencabar kejuaraan di Eropah musim ini, tetapi Guardiola berkata kelab dengan rekod baik di pentas elit itu mempunyai peluang yang lebih baik.

“Kejayaan terhebat kelab ini adalah di separuh akhir Liga Juara-Juara, ia berada dalam sejarah kami,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

“Saya tidak tahu sama ada kami sudah bersedia, ia adalah kebenarannya, saya tidak tahu. Kami tidak mempunyai banyak sejarah di belakang kami, tetapi kami memiliki keyakinan yang banyak.

“Ia bukan saja bergantung kepada jurulatih, pemain, kelab dan penyokong. Ia adalah mengenai kepercayaan kami boleh dan kami perlu menang, dan saya secara peribadi, saya tidak tahu sama ada kami sudah mencapai tahap ini.

“Ada sebab di mana (AC) Milan akan kembali beraksi di Eropah, dan mereka pernah memenanginya, saya tidak begitu pasti, lima, enam atau tujuh kali.

“Pilihan saya adalah pasukan yang mempunyai sejarah lebih besar berbanding kami, Real Madrid, Barcelona, pasukan-pasukan seperti ini.”

Guardiola berkata, beliau percaya sebab utama juara Itali, Juventus membeli Cristiano Ronaldo pada musim ini adalah untuk menunjukkan betapa seriusnya mereka mahu menang pada musim ini.

“Mereka (Juventus) mara ke final dua kali dan setiap kami mereka semakin hampir,” katanya. “Atletico Madrid akan bermain di gelanggang sendiri. Mereka adalah pasukan yang beraksi baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Beberapa pasukan akan turut berada di sana, dan saya berharap kami juga sama.”

City ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan F, Liga Juara-Juara selepas mengharungi dua perlawanan berikutan kemenangan ke atas Hoffenheim tetapi tewas kepada Lyon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 12:23 PM