GUARDIOLA (kiri) meletakkan sandaran kepada Haaland. FOTO AFP
GUARDIOLA (kiri) meletakkan sandaran kepada Haaland. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Pep Guardiola sudah memenangi sembilan trofi utama di Manchester City tetapi pengendali Sepanyol itu berkata era pengurusannya di kelab Liga Perdana itu akan dinilai sama ada dia dapat menghadiahkan gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka.

Guardiola sudah memenangi empat kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan empat Piala Liga di City tetapi masih gagal meraih kejayaan di Eropah ​​dengan penamat terbaik kelab Inggeris itu menjadi naib juara pada 2021.

Ditanya sama ada memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama City akan membuktikan kejayaannya di mata orang ramai, Guardiola memberitahu pemberita: "Ya. Itu tidak bermakna saya bersetuju sepenuhnya, tetapi sememangnya kami akan dinilai menerusi pertandingan itu.

"Pada perlawanan Liga Juara-Juara pertama saya di sini (pada 2016), mereka bertanya, 'Adakah anda di sini untuk memenangi Liga Juara-Juara?' Jika saya pengurus untuk Real Madrid saya boleh faham, tetapi saya menerimanya. Apapun ia tidak akan berubah."

City menerima kunjungan RB Leipzig pada perlawanan kedua pusingan 16 terakhir awal pagi Rabu ini selepas perlawanan pertama berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Guardiola juga berkata terdapat ruang penambahbaikan untuk penyerang, Erling Haaland walaupun pemain Norway itu sudah menjaringkan 34 gol musim ini.

"Saya tidak suka hanya pemain yang menjaringkan gol saja. Benar kami memerlukannya.

"Tetapi di luar kawasan lawan di mana dia tidak dapat menjaringkan gol, kami memerlukannya untuk lebih agresif. Kami perlu melihatnya dan dia perlu terbabit dalam apa yang kami lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:32 PM