GUARDIOLA memeluk pengurus Arsenal Mikel Arteta selepas tamat perlawanan di Etihad.
GUARDIOLA memeluk pengurus Arsenal Mikel Arteta selepas tamat perlawanan di Etihad.
Agensi

London: Pep Guardiola berkata, Manchester City wajar diingati sebagai antara tiga kelab terbaik Inggeris sepanjang zaman

Pengurus Etihad itu memberi amaran kepada pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah bahawa perjuangan City belum berakhir.

Guardiola membawa kelabnya meraih lima gelaran liga dan enam trofi domestik dalam lima tahun terakhir termasuk trofi Liga Juara-Juara, Piala Super dan Piala Kelab Dunia sejak 12 bulan lalu.

Di sebalik seri dengan pencabar liga Arsenal, Man City masih dalam landasan untuk menambah koleksi trofi apabila menentang Real Madrid di suku akhir Liga Juara-Jara dan berdepan Chelsea pada separuh akhir Piala FA.

Guardiola berkata: "Pasukan ini juara lima kali EPL berserta pelbagai gelaran lain sudah pasti diingati.

"Sudah tentu saya tidak anggap terbaik kerana ia tidak adil kepada banyak lagi pasukan hebat dan kami antara mereka. Itu yang pasti.

"Jadi apa yang kami menangi dan cara kami beraksi, kami berhak menjadi antara tiga atau lima kelab terbaik England sepanjang zaman. Ia satu kebanggaan dan penghormatan."

Ketika City ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Liverpool dan dua mata di belakang Gunners, City masih menjadi pilihan dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Guardiola ketika bercakap kepada media semalam berkata, mereka masih laparkan kejayaan. "Kami masih di sini, jadi mengapa kami perlu berhenti. Kami akan terus berusaha dan lihat apa akan berlaku."

City tidak boleh keciciran mata atau melakukan kesilapan ketika melayan kedatangan pasukan di tangga keempat Aston Villa pada awal pagi Khamis ini jika tak mahu terus ditinggalkan Liverpool dan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 9:09 AM