NIKO KOVAC
NIKO KOVAC
AFP

BERLIN: Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac sudah mula tertekan selepas menempuh empat perlawanan tanpa kemenangan, dan beliau pasti sedar juara Jerman itu bukanlah kelab yang mudah menerima kegagalan.

Kovac mengambil alih Bayern pada musim panas lalu dan dianggap sebagai ketua untuk tempoh yang lama, selepas pengendali sebelumnya, Jupp Heynckes berjaya mewujudkan memulihkan kelab itu sejak Carlo Ancelotti dipecat.

Reputasi pengendali berusia 46 tahun itu melonjak selepas menjuarai Piala Jerman bersama Eintracht Frankfurt pada Mei apabila menewaskan Bayern di final.

Namun kekalahan 0-3 Bayern di laman sendiri kepada Borussia Moenchengladbach menyebabkan pasukan itu berkedudukan keenam liga dan untuk rekod, kali terakhir kelab itu mengharungi aksi tanpa kemenangan dalam empat perlawanan ialah pada 2009.

“Kovac bakal menjadi tumpuan utama,” lapor berita Stern dalam laman sesawangnya.

“Jurulatih Bayern yang tampak bergelut selepas hanya 11 perlawanan. Selepas menang gelaran untuk enam musim berturut-turut, ia sukar dibayangkan. Tetapi inilah yang berlaku kepada Niko Kovac,” kata akhbar Bild dalam edisi dalam taliannya.

Selepas kekalahan Sabtu lalu, Kovac berdepan soalan yang tidak dapat dielakkan mengenai masa depannya.

“Saya tahu bagaimana situasi bola sepak dan perancangan Bundesliga serta Bayern,” kata pengendali dari Croatia yang dilahirkan di Jerman itu.

“Saya tahu anda akan mendapat masa yang kurang di Bayern berbanding tempat lain.”

Kovac pantas menepis kritikan daripada pemainnya Jumaat lalu dengan penyerang Colombia, James Rodriguez memberitahu akhbar sesi latihan jurulatih baharu itu tidak sesuai dan polisi menggilirkan pemain menyebabkan kemarahan ramai pemain bintang.

“Kami di sini bukan di Frankfurt,” kata Rodriguez sambil berjenaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 9:55 AM