PENGURUS Bayern Munich, Niko Kovac. FOTO AFP
PENGURUS Bayern Munich, Niko Kovac. FOTO AFP
AFP

BERLIN: Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness menegaskan sokongan padunya terhadap jurulatih Niko Kovac tidak berubah selepas pengendali dari Croatia itu berdepan tekanan tinggi susulan prestasi longlai yang dilakarkan ketika ini.

Penyandang juara Bundesliga itu bergelut untuk menamatkan deretan tanpa kemenangan dan terus dimalukan apabila tewas 0-3 di gelanggang sendiri kepada Borussia Moenchengladbach, semalam untuk menghuni tangga keenam liga.

“Saya akan mempertahankan Niko Kovac sehingga penghujung,” kata Hoeness dalam satu temuramah bersama majalah Kicker.

Dalam laporan berbeza, Hoeness berkata kepada akhbar Sueddeutsche Zeitung beliau berdiri di belakang Kovac ‘tanpa mengira apa yang berlaku pada minggu depan.’

Kovac mengambil alih Bayern pada musim panas ini dan dibayangkan akan menjadi pengurus untuk tempoh masa yang lama selepas Jupp Heynckes berjaya menyelamatkan pasukan itu daripada karam musim lalu.

Jurulatih legenda Bayern, Heynckes mengemudi kelab itu secara sementara berikutan pemecatan Carlo Ancelotti.

Selain itu, Hoeness turut menolak pendapat yang mengatakan gergasi Bundesliga itu berada dalam keadaan panik selepas mengharungi empat perlawanan tanpa menang.

“Ada ketenangan dalam pasukan,” katanya.

Kovac dalam pada itu mengerti tahap kesabaran mulai mengecil jika dia gagal mengubah nasib Bayern.

“Saya tahu mekanisma dalam bola sepak, saya tahu masa berjalan dengan berbeza di Bayern berbanding tempat lain,” kata pengendali berusia 46 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:50 PM