NADAL tewaskan Tsitsipas dengan kemenangan  6-2 7-6(4). FOTO/FAIL
NADAL tewaskan Tsitsipas dengan kemenangan  6-2 7-6(4). FOTO/FAIL
Reuters

TORONTO: Rafael Nadal menamatkan perjalanan hebat pemain Greece, Stefanos Tsitsipas dengan kemenangan  6-2 7-6(4) hari ini, sekali gus menjulang gelaran keempat Piala Rogers.

Tsitsipas yang bertarung dalam final Masters 1000 pada sambutan ulang tahun ke-20, beraksi sehabis baik untuk cuba mengatasi Nadal tetapi akhirnya gagal menandingi bintang nombor satu dunia itu.

“Jika anda memberitahu saya (mengenai kejayaan ini) dua minggu lepas saya tidak akan mempercayainya,” kata Nadal. “Ia adalah cara yang hebat untuk memulakan aksi di atas gelanggang keras.

“Memenangi gelaran di Toronto adalah penting. Tidak selalunya anda mampu memenangi Masters 1000. Ia kemenangan yang begitu penting dan bermakna buat saya.”

Tsitsipas yang mengetepikan empat pemain pilihan dalam perjalanan ke final beraksi goyah pada set pertama apabila tersungkur dalam tempoh 34 minit.

Set kedua awalnya seakan sama sebelum pemain di ranking ke-27 dunia itu meningkatkan permainan untuk menekankan Nadal sehingga mata terakhir.

“Saya agak gementar dan bermain teruk di set kedua,” kata Nadal selepas menjulang gelaran sulung di atas gelanggang keras sejak Cincinnati pada 2013. “Tetapi itu lumrah sukan, ada kalanya anda beraksi kurang baik tetapi tetap menang.”

Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 32 tahun itu yang pernah memenangi Piala Rogers pada 2005, 2008 dan 2013 muncul pemain keempat di era profesional memenangi 80 gelaran untuk menyertai Jimmy Connors (109), Roger Federer (98) dan Ivan Lendl (94).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:27 AM