RAFAEL Nadal. Foto EPA
RAFAEL Nadal. Foto EPA
AFP

RAFAEL Nadal bangkit daripada permulaan yang perlahan untuk menundukkan Marin Cilic 2-6, 6-4, 6-4 sekali gus membolehkannya meneruskan pemburuan gelaran Masters ATP di atas gelanggang keras, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu mara ke separuh akhir di Toronto dan akan bertemu pemain dari Russia, Karen Khachanov yang menewaskan Robin Haase 6-3, 6-1.

Kali terakhir Nadal memenangi gelaran di atas gelanggang keras adalah pada 2013.

Nadal terjerat dengan permainan Cilic pada set pertama selepas pemain itu merangkul kemenangan awal.

Namun Nadal bangkit pada set kedua sebelum mengesahkan kemenangan pada set ketiga menerusi mata akhir ketiga dalam aksi yang berlangsung selama lebih dua jam itu.

Sementara itu, Stefanos Tsitsipas terselamat daripada dua mata akhir untuk menewaskan juara bertahan, Alexander Zverev  3-6, 7-6 (13/11), 6-4 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pemain remaja Greece yang akan berusia 20 tahun esok meraih kemenangan buat kali ketiga berturut-turut ke atas pemain dalam ranking 10 pemain terbaik selepas menumbangkan Dominic Thiem di pusingan kedua dan menyingkirkan juara Major 13 kali, Novak Djokovic di pusingan ketiga.

Tsitsipas akan bertemu naib juara Wimbledon, Kevin Anderson yang mengetepikan Grigor Dimitrov 6-2, 6-2.

“Saya kini keliru, adakah ini benar?,” kata Tsitsipas pemain ranking ke-27 dunia itu selepas melengkapkan hatrik kejutan terbabit.

“Ini membuktikan betapa dengan dedikasi serta kerja keras, impian boleh menjadi nyata.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada set kedua. Saya cuma mematahkan servisnya untuk menjadikan kedudukan 4-5. Selepas itu saya merasakan sokongan penonton dan tahu saya masih lagi mampu meraih kemenangan.”

.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 2:27 PM