TSITSIPAS juara Terbuka Monte Carlo. FOTO AFP
TSITSIPAS juara Terbuka Monte Carlo. FOTO AFP
AFP

Monaco: Stefanos Tsitsipas menewaskan Andrey Rublev 6-3, 6-3 untuk muncul juara Terbuka Monte Carlo bagi meraih gelaran Masters 1000 yang pertama dan menyifatkan kejayaan itu sebagai cara dia "mengawal pernafasan."

Pemain berusia 22 tahun yang kini menghuni ranking kelima dunia hanya memerlukan satu jam 11 minit untuk menewaskan pemain Russia yang kini menghuni ranking kelapan bagi merangkul kejayaan terbesar dalam kariernya selepas kejayaan di ATP Final pada 2019.

"Bernafas adalah perkara yang saya cuba untuk pelajari beberapa bulan lalu bersama psikologi saya," kata Tsitsipas yang berkata dia belajar cara bertafakur dan terinspirasi daripada agama Buddha.

"Saya rasa bernafas adalah penting terutama ketika saya beraksi, bernafas membantu saya mengawal diri dan mengawal sepenuhnya apa yang saya lakukan di luar sana.

"Ia adalah sesuatu yang saya beri tumpuan untuk beberapa minggu lalu."

Kejayaan pemain Greek itu adalah perlawanan ketujuh menentang Rublev yang berusia 23 tahun dan kini melebarkan rekod kemenangan kepada 4-3.

Tsitsipas percaya persaingannya dengan Rublev yang bermula ketika aksi berprestij di Orange Bowl di Florida dan satu hari nanti menandingi pertarungan epik yang membabitkan Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Roger Federer.

"Lihat kembali 15 tahun lalu, 10 tahun lalu apabila Nadal dan Federer membina kerjaya mereka. Saya rasa seperti dalam keadaan kami pada era ini. Akan ada persaingan yang jauh lebih banyak dari satu perlawanan," kata Tsitsipas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:08 PM