DJOKOVIC bersama trofi yang dimenangi selepas menewaskan Anderson pada perlawanan akhir Wimbledon, sebentar tadi. Foto AFP
DJOKOVIC bersama trofi yang dimenangi selepas menewaskan Anderson pada perlawanan akhir Wimbledon, sebentar tadi. Foto AFP
Agensi

LONDON: Novak Djokovic menumpaskan pilihan ke-8 dari Afrika Selatan, Kevin Anderson 6-2, 6-2, 7-6 (3) untuk menjulang trofi tenis Wimbledon yang juga gelaran Grand Slam ke-13 dalam kariernya, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Djokovic mengumpul koleksi gelaran Wimbledon buat kali keempat dan juga gelaran Grand Slam pertama selepas kali terakhir muncul juara di Terbuka Perancis pada 2016.

Kali terakhir pemain Serbia yang kini berusia 31 tahun itu dinobatkan juara Wimbledon ialah pada edisi 2015.

Dan kali ini, dia muncul pemain di ranking paling rendah (21) muncul juara perseorangan lelaki di All England Club sejak Goran Ivanisevic melakukannya pada 2001.

Gelaran Grand Slam ke-13 itu membolehkan Djokovic berada di kedudukan keempat dalam senarai pemain perseorangan lelaki paling banyak muncul juara, diketuai Roger Federer yang mengumpul 20 gelaran.

Djokovic, yang bergelut dengan kecergasan dan kemerosotan prestasi sejak dua tahun lalu menyertai kejohanan selaku pilihan ke-12 dan dalam pertembungan final tadi, dia cuma melakukan 13 kesilapan.

“Ia cukup menakjubkan kerana buat pertama kalinya dalam hidup, saya mempunyai seseorang yang menjerit 'Daddy Daddy',” kata Djokovic selepas menerima trofi diiringi anak lelakinya, Stefan yang hadir bersama ahli keluarga lain.

“Ini adalah gelaran Grand Slam pertama dalam tempoh beberapa tahun dan tiada ada tempat yang lebih baik untuk melakukan kebangkitan semula.”

“Tahniah kepada Kevin, dia memiliki masa depan yang cerah,” katanya.- Reuters/AFP

Info: Senarai pemenang Wimbledon

2018: Novak Djokovic (Serbia)

2017: Roger Federer (Switzerland)

2016: Andy Murray (Great Britain)

2015: Novak Djokovic (Serbia)

2014: Novak Djokovic (Serbia)

2013: Andy Murray (Great Britain)

2012: Roger Federer (Switzerland)

2011: Novak Djokovic (Serbia)

2010: Rafael Nadal (Sepanyol)

2009: Roger Federer (Switzerland)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:23 AM