AFP

London: Roger Federer berpeluang menjulang rekod gelaran Wimbledon buat kali kelapan dan menjadi juara tertua era moden hari ini jika mampu menewaskan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic.

Pemain Switzerland berusia 33 tahun itu berjaya mengatasi cabaran pemain lain sebelum tewas kepada pemain Serbia menerusi pertarungan lima set pada final tahun lalu.

Kejayaannya menumpaskan Andy Murray pada aksi separuh akhir kelmarin bagaikan mengulang era dominasi pemain itu di pentas Grand Slam ketika menjulang 16 daripada 17 gelaran utama sepanjang tempoh tujuh tahun dari 2003 hingga 2010.

Kini dia mara ke final ke-10 di Wimbledon, menjadikannya pemain tertua melakukannya selepas Ken Rosewall pada 1974 ketika berusia 39 tahun dan final ke-26 Grand Slam keseluruhan.

Kemenangan hari ini akan mengatasi rekod tujuh gelaran Wimbledon yang dikongsinya bersama Pete Sampras.

Menjelang pertemuan ke-40 di antara Federer dan juara bertahan, Djokovic, kedua-duanya boleh dianggap sama hebat.

Federer mempunyai kelebihan 20-19 sepanjang pertemuan mereka tetapi mereka terikat 6-6 di Grand Slam.

Pada perlawanan akhir kejohanan utama, kedua-duanya terikat 1-1 dengan kejayaan Djokovic di Wimbledon 12 bulan lalu selepas kejayaan Federer di Terbuka AS 2007 menerusi aksi straight set.

“Seronok dapat menentang Novak di mana saja ketika ini kerana dia seorang pemain hebat. Dia mempunyai pencapaian luar biasa sepanjang kariernya,” kata Federer.

“Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sungguh dominan, terutama di gelanggang tanah keras dan kemudian meningkat di gelanggang rumput. Di gelanggang tanah liat, dia antara yang terbaik.

“Dia menjadi pemain yang mencabar. Dia sentiasa ada. Sukar untuk menewaskannya. Permainannya semakin baik.”

Djokovic berkata, kemenangan tahun lalu ke atas Federer membantunya kembali ke landasan tepat selepas gagal menjulang sebarang trofi dalam lima kejohanan utama, hanya mengumpul enam gelaran ketika itu.

“Kemenangan lima set ke atas Roger di gelanggang rumput meningkatkan keyakinan saya,” katanya.

“Saya berkahwin beberapa hari selepas itu dan kemudiannya menjadi bapa selepas itu, saya memasuki dimensi baru yang penuh dengan kegembiraan, keseronokan dan cinta.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:04 AM