PENJAGA gol Juventus, Gianluigi Buffon (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Bologna 3-1 dalam saingan Serie A. FOTO EPA-EFE
PENJAGA gol Juventus, Gianluigi Buffon (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Bologna 3-1 dalam saingan Serie A. FOTO EPA-EFE
Reuters

JUVENTUS ketinggalan menerusi penalti separuh masa pertama sebelum meledak tiga gol selepas rehat untuk membenam Bologna 3-1 awal pagi tadi dan menghampiri gelaran ketujuh Serie A berturut-turut.

Skuad Turin itu memanfaatkan aksi pertahanan kental pelawat untuk melonjak tujuh mata di puncak liga dan akan menjulang gelaran tanpa bermain esok sekiranya pencabar terdekat mereka Napoli tewas di laman sendiri kepada Torino.

Jika tidak, mereka memerlukan tiga mata lagi daripada dua perlawanan terakhir yang membabitkan perlawanan di laman sendiri menentang Verona yag sudah pun tersingkir selepas tewas 1-4 kepada AC Milan.

Bologna yang kekal di pertengahan liga, mendahului dalam insiden yang mencetuskan banyak persoalan mengenai penggunaan video bantuan pengadil (VAR) yang diuji di Serie A dan liga domestik lain musim ini.

Lorenzo Crisetig ditolak Daniele Rugani yang cuba merampas hantaran lemah daripada penjaga gol Gianluigi Buffon dan pengadil mengarahkan sepakan penalti biarpun diprotes  Juventus.

Simone Verdi mengambil sepakan penalti itu namun terpaksa menunggu selama tiga minit ketika pengadil menyemak insiden itu dengan pegawai VAR.

Dikatakan berlaku masalah komunikasi apabila pengadil itu sendiri melihat monitor di tepi padang sebelum mengesahkan keputusan. Verdi terus tenang dan merembat bola ke gawang ketika Buffon melayangkan badan ke arah bertentangan.

Juve dihadiahkan gol penyamaan tujuh minit selepas separuh masa kedua apabila pemain Bologna Sebastien de Maio tertolak hantaran Juan Cuadrado ke gawang sendiri.

Tandukan Sami Khedira meletakkan Juve di depan selepas penjaga gol Antonio Mirante gagal menyelamatkan hantaran jauh  Douglas Costa dan Paulo Dybala memastikan gol ketiga daripada satu lagi hantaran Costa apabila pemain Brazil itu berjaya merebut bola tinggi daripada Vasilis Torosidis.

Sementara itu Hakan Calhanoglu, Patrick Cutrone, Ignazio Abate dan Fabio Borini menyumbang gol Milan yang mudah menundukkan Verona dalam perlawanan terdahulu di  San Siro manakala Lee Seung-woo menjaringkan gol sagu hati buat pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 6:15 AM