SAVIC menjaringkan gol kedua Lazio. FOTO Reuters
SAVIC menjaringkan gol kedua Lazio. FOTO Reuters
Reuters

LAZIO bangkit mencetuskan kekalahan pertama Juventus musim ini dengan kemenangan 3-1 menerusi dua gol dalam tempoh 20 minit terakhir selepas pemain lawan, Juan Cuadrado dibuang padang.

Juve yang tidak kalah 19 perlawanan dalam semua kejohanan di bawah kendalian jurulatih baharu, Maurizio Sarri terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah di Stadio Olimpico menerusi tolakan jarak dekat Cristiano Ronaldo pada minit ke-25 untuk gol ketujuhnya dalam liga musim ini tetapi Luiz Felipe menyamakan kedudukan sejurus sebelum tamat babak pertama menerusi tandukan.

Insiden pada minit ke-69 mencetuskan kontroversi apabila pertahanan kanan Juve, Cuadrado mengasari Manuel Lazzari yang menerima hantaran Luis Alberto. Pengadil kemudiannya melayangkan kad merah kepada pemain Colombia selepas merujuk reviu VAR.

Walaupun Lazzari berada 30 meter dari gawang Juve, pengadil, Michael Fabbri menganggap dia dinafikan peluang menjaringkan gol sekali gus mencetuskan kemarahan pemain Juventus.

Lima minit kemudian, Sergej Milinkovic-Savic meletakkan Lazio di depan menerusi tolakan jarak dekat selepas mendapat hantaran cantik, Luis Alberto.

Penalti Ciro Immobile diselamatkan penjaga gol Juve sebelum pemain gantian, Felipe Caicedo melengkapkan malam derita pelawat menerusi gol ketiga pada masa kecederaan.

Juventus kekal di tangga kedua, dua mata di belakang Inter Milan dengan 36 mata daripada 15 perlawanan manakala Lazio ketiga dengan tiga mata di belakang selepas kemenangan ketujuh berturut-turut dalam aksi Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 7:54 AM