PERTAHANAN Atletico Madrid dari Uruguay, Gimenez (kanan) membuka tirai jaringan pada minit ke-78 di Madrid, awal pagi tadi. - FOTO AFP
PERTAHANAN Atletico Madrid dari Uruguay, Gimenez (kanan) membuka tirai jaringan pada minit ke-78 di Madrid, awal pagi tadi. - FOTO AFP
AFP

MISI Liga Juara-Juara Cristiano Ronaldo bersama Juventus tergugat awal pagi tadi apabila Atletico Madrid meraih kemenangan 2-0 pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir yang menarik di Wanda Metropolitano.

Ronaldo kembali ke Madrid, ibu negara Sepanyol yang mana dia menikmati kejayaan gemilang pada pertandingan itu bersama Real, namun musuh mereka yang meraikan kemenangan selepas wisel penamat ketika gol Jose Gimenez dan Diego Godin membantu Atletico menghampiri suku akhir.

“Kami belum mara lagi,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone. “Masih ada satu perlawanan perlu dilalui dan kami sedar mereka pasti memberi cabaran sengit.”

“Mujurlah kami tidak melepaskan gol ketiga,” kata bos Juventus, Massimiliano Allegri. “Kerana 2-0 satu keputusan yang boleh ditangani. Kami belum tersingkir lagi.”

RONALDO gagal membantu kemenangan Juventus pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara. - FOTO AFP
RONALDO gagal membantu kemenangan Juventus pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara. - FOTO AFP

Namun anak buah Simeone berhak menang. Percubaan Antoine Griezmann singgah di palang manakala penolong pengadil video (VAR) mencelah dua kali memihak Juve apabila membatalkan penalti kerana kekasaran terhadap Diego Costa dan kemudian menafikan tandukan Alvaro Morata sebaik sebelum Gimenez meledak gol.

Jelas impian Juve belum berkubur apatah lagi Costa dan Thomas Partey kedua-duanya digantung bagi aksi timbal balik di Turin selepas masing-masing menerima kad kuning.

Namun kegagalan menjaringkan gol di tempat lawan dan kelesuan mereka pada babak kedua tidak begitu menjanjikan kebangkitan.

“Mereka tidak memberikan anda peluang,” kata Allegri. “Mereka memaksa anda bermain dengan begitu teruk sekali.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:55 AM