GAYA Dybala menewaskan penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris untuk gol kedua Juventus di Stadium Wembley, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS
GAYA Dybala menewaskan penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris untuk gol kedua Juventus di Stadium Wembley, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS
Reuters

PENGALAMAN ternyata menjadi taruhan terbaik dalam arena tertinggi bola sepak Eropah dan ia dibuktikan Juventus yang bangkit daripada ketinggalan sebelum mengatasi Tottenham Hotspur 2-1 sekali gus layak ke suku akhir Liga Juara-Juara pagi tadi.

Kelab Itali itu yang melangkah ke final dua kali dalam tempoh tiga musim, mudah ‘dipermainkan’ Spurs ketika seri 2-2 di Turin dan dilihat bakal layu di Wembley tetapi jaringan dua penggempur berbisa Argentina, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala menyaksikan gergasi Serie A berkenaan melangkah bergaya menerusi agregat 4-3.

Jaringan pemain tuan rumah, Son Heung-min pada babak pertama meletakkan Spurs dalam keadaan lega tetapi kesilapan pertahanan menyaksikan rekod 17 aksi tanpa kalah, lebur begitu saja.

Higuain yang menjaringkan kedua-dua gol di Turin, menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum Dybala memperdayakan benteng pertahanan Spurs sebelum membuat rembatan lencong yang gagal diselamatkan penjaga gol, Hugo Lloris.

Tottenham terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan dan tandukan Harry Kane pada minit terakhir perlawanan sekadar singgah di tiang dan skuad kendalian Massimiliano Allegri itu membuktikan bahawa mereka masih lagi salah satu gergasi Eropah yang sukar untuk dijinakkan.

“Dalam tempoh kurang tiga minit, kami melepaskan dua gol - dua kesilapan besar - dan itulah sebabnya mengapa kami tersingkir,” kata pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino. “Dalam kedua-dua aksi ini, kami perlukan lebih lagi.

“Kami bermain baik hinggalah gol pertama dan kami mendominasi permainan. Sudah tentu kami kecewa tetapi ia adalah sebahagian daripada tempoh belajar. Kami akan terus berusaha.”

Giorgio Chiellini - jeneral di benteng pertahanan Juve yang pernah tampil sebanyak 175 kali pada aksi Liga Juara-Juara berkata, pengalaman menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

“Kami ingatkan pemain supaya terus bertenang dan peluang itu akan tiba juga,” katanya. “Pengalaman sangat penting dan kami menggunakan sepenuhnya kelebihan itu malam ini.”

Son diberikan ruang di depan Erik Lamela di sebelah kiri serangan Tottenham dan percaturan itu dilihat menjadi apabila dia berjaya memecahkan benteng pertahanan Juve.

Dia mula menguji ketangkasan penjaga gawang Juve yang berusia 40 tahun, Gianluigi Buffon menerusi rembatan pada minit ketiga serta satu lagi percubaan yang memaksa Chiellini bekerja keras.

Kane sepatutnya menjaringkan gol ke-36 peribadinya musim ini pada minit ke-14 apabila menerima hantaran Dele Ali tetapi rembatannya sedikit tersasar.

Begitupun, Juve tetap membalas dan Douglas Costa berjaya menyelinap masuk ke kotak penalti tuan rumah sebelum dijatuhkan Jan Vertonghen.

Pemain Juve meminta pengadil Poland, Szymon Marciniak supaya memberikan penalti tetapi pegawai perlawanan berkenaan tidak melayan tuntutan pelawat walaupun rakaman membuktikan Vertonghen sengaja menjatuhkan Costa.

“Bukan mudah untuk menang di sini tetapi kami berjaya melakukannya. Saya bangga dengan pasukan ini,” kata Higuain. “Sekali lagi, kami membuktikan bahawa kami mempunyai karektor yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:46 AM