HIGUAIN (kanan) berang selepas dilayangkan kad merah. -Foto Reuters
HIGUAIN (kanan) berang selepas dilayangkan kad merah. -Foto Reuters
Reuters

MILAN: Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain terlepas penalti dan dibuang padang ketika tewas 2-0 di laman sendiri kepada pendahulu Serie A, Juventus yang meminjamkan penyerang itu ke San Siro musim ini.

Mario Mandzukic dan Cristiano Ronaldo meledak jaringan pada awal dan lewat perlawanan namun Higuain yang menjadi tumpuan ketika Milan tersisih dari kedudukan empat pasukan teratas.

Pemain Argentina yang beraksi dua musim di Juve dan disisihkan selepas mereka mendapatkan Ronaldo dari Real Madrid, berang selepas dilayangkan kad kuning susulan insiden kekasaran dengan Medhi Benatia dan diarah meninggalkan padang selepas melakukan protes pada minit ke-83.

Ia menambahkan kemarahannya selain terpaksa ditenteramkan rakan sepasukan selepas hilang sabar terhadap pengadil dan sesetengah pemain Juve termasuk Ronaldo.

“Saya beritahu dia agar tidak keterlaluan, bagi mengelakkan tindakan lebih tegas,” kata Ronaldo. “Dia di pihak yang ketinggalan. Kita tidak boleh menyalahkan dia untuk semuanya, dia tidak mengatakan sesuatu yang buruk.”

Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso merasakan Higuain harus memohon maaf susulan tindakan keterlaluannya.

“Saya berharap dia memohon maaf kepada pengadil kerana tindakannya,” kata Gattuso yang turut terkenal sebagai seorang pemain yang panas baran.

“Pemain berpengalaman dan penting sepertinya tidak boleh bertindak seperti itu walaupun dalam situasi yang sukar dari segi psikologi. Dia perlu fokus terhadap permainannya di padang.

AC Milan berpeluang menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas jaringan Alex Sandro pada minit kelapan apabila bola dalam kawalan Higuain terkena tangan Benatia.

Milan melakukan protes dan pengadil menghadiahkan penalti selepas melihat kembali dengan bantuan VAR namun sepakan penalti Higuain lemah dan Wojciech Szczesny menolaknya keluar.

Ronaldo melengkapkan kemenangan dengan gol kelapannya musim ini pada minit ke-81 melakukan rembatan selepas Gianluigi Donnarumma menepis hantaran Joao Cancelo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:30 AM