GIANLUIGI BUFFON
GIANLUIGI BUFFON
AFP

MILAN: Penjaga gol legenda Juventus dan Itali, Gianluigi Buffon menyelar “salah guna” sistem video pembantu pengadil (VAR) apabila menyatakan ia membuatkan saingan Serie A kelihatan “jelik.”

VAR, rakaman yang boleh digunakan oleh pengadil di tepi padang untuk menangani insiden utama, digunakan dalam Serie A buat kali pertama musim ini sebelum membuat penampilan sulung pada Piala Dunia di Russia tahun depan.

Namun ketika beberapa keputusan VAR menyangkal tuduhan itu sepanjang dua minggu pertama, kesilapan berlaku dan Buffon serta pemain tengah AS Roma, Diego Perotti, muncul antara pengkritik.

“Jika anda tanya saya, VAR disalah guna dan tidak konsisten,” kata Buffon kelmarin selepas membantu Juventus membenam Genoa 4-2 di laman lawan.

“Kami diberitahu ia akan diguna sekali-sekala dengan adil dan logik. Sebaliknya ia seperti kami bermain polo air. Ia membuatkan permainan ini kelihatan jelik.”

Pemenang Piala Dunia, kini pemegang rekod penampilan Itali dengan 169 caps, kehebatan Buffon menjaga gawangnya tidak boleh dipersoalkan.

Apabila bercakap mengenai VAR, dia melalui pengalaman itu.

Pemain berusia 39 tahun itu menjadi sebahagian daripada sejarah VAR Serie A, menyelamatkan sepakan penalti pada babak pertama ketika menang 3-0 pada hari pembukaan musim ke atas Cagliari minggu lalu apabila pengadil Fabio Maresca menggunakannya buat kali pertama dalam liga utama Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 1:43 PM