HIGUAIN (tengah) bantu jaring gol ketiga Juve.
HIGUAIN (tengah) bantu jaring gol ketiga Juve.
AFP

GOL sumbangan Mario Mandzukic, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain membantu Juventus menang 3-0 ke atas Cagliari awal pagi tadi, ketika juara Itali itu menafikan keputusan video pembantu pengadil (VAR) memberikan sepakan penalti sekali gus memulakan kempen Serie A dengan penuh bergaya.

Juventus, yang merakam kejuaraan Serie A keenam berturut-turut musim lalu namun tewas final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, menghuni tempat biasa mereka di puncak carta liga.

Napoli turut menikmati permulaan positif dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas kelab pendatang baru Verona, yang mana Arkadiusz Milik membalas kepercayaan jurulatih Maurizio Sarri menurunkannya dalam kesebelasan utama dengan gol kedua Napoli.

Pengadil Fabio Maresca melakar sejarah di stadium Juventus yang diberi nama baru Stadium Allianz dengan menghadiahkan penalti berikutan perbincangan dengan VAR, namun ia tidak membantu Cagliari apabila penjaga gol Juve, Gianluigi Buffon menyelamatkan sepakan itu.

Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri, yang meletakkan Dybala di bahagian serangan di samping Higuain dengan Mandzukic beroperasi di belakang kedua-duanya, pantas memuji Buffon dalam apa yang dilihat musim terakhir pemain berusia 39 tahun itu.

“Saya memang sudah jangka pengadil akan memberikan sepakan penalti, mujurlah kami ada penjaga gol nombor satu Buffon. Dia membantu kami dalam situasi sukar,” kata Allegri.

Seminggu selepas tumpas 2-3 kepada Lazio pada final Piala Super yang menyaksikan Dybala meledak dua gol, jurulatih Juve itu amat berpuas hati.

“Pemain mentafsirkan permainan ini dengan baik, jadi saya gembira,” ujar Allegri, yang turut memuji Mandzukic kerana kerja kerasnya.

“Dia banyak membantu secara fizikal. Apabila kami dalam kesukaran, kami bergantung kepadanya. Dia tidak boleh melakukan semuanya tapi dia banyak membantu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:55 AM