NURULFATIHAH menyiapkan air yang dipesan pelanggan.
NURULFATIHAH menyiapkan air yang dipesan pelanggan.
Suliati Asri


Membosankan! Itu tanggapan pertama Nurulfatihah Rosli, 32, di awal pengajiannya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

Namun, siapa sangka atas tiket 'kerana terpaksa', ilmu kemahiran yang dikatakan membosankan itu kini berjaya dikembangkan tidak hanya membuka perniagaan kafe, tetapi juga memperluaskan ilmu kepada pekerjanya.

Sebagai seorang yang aktif dalam sukan ketika di bangku sekolah, pastinya menjadi atlet adalah cita-cita yang diimpikan dan begitu juga dengan Nurulfatihah.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dilupakan berikutan keluarga mahu dia mengikuti jejak langkah abangnya yang ketika itu melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Walaupun berat hati, dia akur keputusan keluarga dan menyambung pengajian di peringkat sijil dalam bidang Penyeliaan Makanan dan Minuman di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka.

Nurulfatihah berkata, di awal semester, dia menganggap kelas yang dihadiri sangat membosankan.

"Bayangkan saja, sudahlah ikuti kursus tanpa minat, kelas pertama pula adalah sesi 'berkenalan' dengan sudu, garpu yang pelbagai jenis dan lebih 50 jenis gelas.

"Tidak hanya perlu mengetahui setiap fungsinya, kami juga perlu melukis kelengkapan yang sangat penting dalam dunia perhotelan ini.

"Dengan usia 'dara muda', semua itu saya anggap mengarut dan sangat membosankan," katanya.

Bagaimanapun, tak kenal maka tak cinta. Biarpun pada awalnya tidak meminati bidang TVET, namun lama-kelamaan Nurulfatihah mula menyukai bidang yang ceburi itu.

GAMBAR kenangan Nurulfatihah bersama rakan ketika mengusahakan perniagaan pertama ‘Kopi Tepi Jalan’.
GAMBAR kenangan Nurulfatihah bersama rakan ketika mengusahakan perniagaan pertama ‘Kopi Tepi Jalan’.

Katanya, berbeza dengan rakan-rakan yang ketika itu melanjutkan pengajian dalam bidang akademi, pembelajaran di institusi kemahiran sangat berlainan.

"Di awal semester, mereka banyak bermain dengan kertas dan pen, tetapi saya, bukan teori yang menjadi 'santapan' setiap hari, tetapi praktikal.

"Saya mula melihat dunia perhotelan ini sangat meluas dan ia mempunyai pelbagai cabang kerjaya serta peluang yang ditawarkan.

"Orang sekeliling yang sentiasa menyokong terutama keluarga dan tenaga pengajar juga membuatkan saya lagi bersemangat untuk meneroka dalam bidang ini.

GERAI Kopi Tepi Jalan sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.
GERAI Kopi Tepi Jalan sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.

"Akhirnya pada semester kedua, saya memutuskan untuk membuka perniagaan dalam bidang makanan dan minuman apabila habis belajar," katanya.

Mahu menambah lebih banyak kemahiran dan menyedari TVET ini menawarkan peluang yang meluas, Nurulfatihah menyambung pengajian di peringkat diploma dalam Teknologi Makanan dan Minuman di institusi sama.

Selepas tamat belajar, Nurulfatihah kemudian menyambung pengajian di Latihan Pengajar untuk menjadi tenaga pengajar.

"Ini salah satu keunikan TVET yang tidak diketahui ramai.

"Sebenarnya sebagai pelajar TVET, kemahiran yang ada tidak hanya membolehkan seseorang itu membuka perniagaan sendiri, tetapi mereka juga boleh mengembangkan karier mereka.

"Peluang yang ada dalam TVET itu sangat meluas. Kerana itu juga saya memilih menjadi tenaga pengajar," katanya.

Hampir lima tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar dalam bidang kemahiran, Nurulfatihah mengambil keputusan untuk membuka perniagaan.

Bermula dengan perniagaan 'Kopi Tepi Jalan', anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini menggunakan sepenuhnya ilmu kemahiran serta pengurusan yang dipelajari dalam membina empayar perniagaan.

NURULFATIHAH (berdiri tengah) bergambar kenangan bersama kakitangannya.
NURULFATIHAH (berdiri tengah) bergambar kenangan bersama kakitangannya.

Kini, Nurulfatihah mengusahakan Kopitiam143 yang sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Keramat dan Ampang.

Nurulfatihah berkata, kemahiran yang dimiliki tidak hanya membantu dalam kehidupan sendiri, tetapi juga membuka peluang kepada dirinya untuk menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada orang ramai terutama pekerjanya.

Katanya, jika kebanyakan majikan memilih pekerja berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang ada terutama dalam bidang makanan dan minuman, namun prinsipnya berbeza.

"Saya mengambil semua pekerja yang kebanyakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai kemahiran.

"Saya melihat mereka ini seperti diri saya sendiri yang dulunya juga tidak mempunyai kemahiran.

"Seperti kertas kosong, saya akan mencorak mereka, memberikan ilmu kemahiran dan kini tahap kemahiran yang mereka ada setaraf Sijil Kemahiran Malaysia,"katanya.

Uniknya menceburi bidang kemahiran ini, hubungan pelajar dengan pihak industri juga sangat dekat.

Nurulfatihah berkata, institusi TVET tidak pernah meninggalkan pelajarnya begitu saja tanpa hala tuju.

Katanya, selain diajar dalam semua ilmu yang berkaitan kemahiran yang diambil, kebanyakan institut TVET juga memperlihatkan pelajarnya hala tuju yang mereka boleh ikuti selepas tamat pengajian.

"Saya sendiri dari tamat pengajian kira-kira 18 tahun lalu, pensyarah dan pihak IKTBN Alor Gajah masih berhubung dengan saya.

"Mereka sentiasa bertanya mengenai perkembangan dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar jika saya memerlukan," katanya.

Peluang yang ditawarkan TVET ini juga sangat meluas dan boleh ikuti pelbagai peringkat umur.

Kata Nurulfatihah, TVET tidak hanya ditawarkan kepada orang muda, tetapi juga mereka yang sudah berusia kerana ada pelbagai bidang kemahiran ditawarkan.

"Sebagai contoh untuk yang sudah berusia, kita ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) manakala untuk golongan muda, kita ada GiatMata, Mara, Kolej Komuniti dan banyak lagi.

"Jadi, saya menggalakkan masyarakat mengambil kemahiran kerana isntitusi TVET ini mengajar kita pelbagai ilmu dari akar umbi hingga menjadi sebatang pokok.

"Bagaimanapun, pilihan di tangan masing-masing,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:00 AM