KEMAHIRAN komunikasi juga memudahkan Fatin berinteraksi dan mengajar anak muridnya di sekolah.
KEMAHIRAN komunikasi juga memudahkan Fatin berinteraksi dan mengajar anak muridnya di sekolah.
Suliati Asri


DIPLOMA, ijazah sarjana muda atau sarjana sudah dalam genggaman. Namun, ada yang memilih untuk mengikuti kursus kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain dapat menambahkan ilmu, lebih membanggakan, menerusi kemahiran TVET itu, ia menjadi kerjaya dan mata pencarian.

Ada yang berpendapat, ia ibarat membuang masa, tetapi ramai juga menganggap mengikut kursus TVET adalah pilihan yang tepat terutama bagi mereka yang ingin mencari nilai tambah dalam kehidupan dan kerjaya.

Malah, ada juga yang percaya dengan ijazah dan diploma yang dimiliki jika ditambah dengan kemahiran TVET, ilmu yang ada itu digabungkan sekali gus memberikan impak positif dalam kehidupan terutama mendepani situasi mencabar ini.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga (ERT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fatin Nur Syahirah Abdul Hamid berpendapat mempunyai diploma atau ijazah ditambah dengan kemahiran TVET ibarat satu bonus untuk graduan.

Menurutnya, apabila semua ilmu yang diperoleh itu digabungkan dan dimanfaatkan dalam kehidupan serta kerjaya, ia pastinya membuahkan hasil yang tidak disangka.

"Dulu saya melihat kemahiran ini hanya fokus kepada kebolehan atau kepandaian seseorang.

"Namun, hakikatnya kemahiran ini sangat meluas. Bagi saya, skil berkomunikasi yang tinggi dan kecekapan dalam melakukan atau menyiapkan kerja juga adalah satu bentuk kemahiran.

"Jadi, sebanyak mana ijazah yang diperoleh atau setinggi mana tahap pendidikan yang dimiliki, mempunyai kemahiran dalam sesuatu perkara itu juga tidak hanya bonus, tapi mampu memberi impak besar dalam kehidupan serta kerjaya," katanya.

Selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Fatin Nur Syahirah yang lebih mesra dengan panggilan Fatin menyambung pengajian di peringkat matrikulasi dalam bidang perakaunan.

Fatin kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang sains matematik dan kini di tahun akhir dalam bidang pendidikan ERT.

Dalam masa sama, Fatin menjalankan perniagaan bakeri dari rumah secara sambilan.

GABUNGAN ilmu profesional dan kemahiran TVET menjadikan seseorang itu lebih berkemahiran dan lebih berkredibiliti.
GABUNGAN ilmu profesional dan kemahiran TVET menjadikan seseorang itu lebih berkemahiran dan lebih berkredibiliti.

ANTARA rekaan dalaman hasil tangan Hayati.
ANTARA rekaan dalaman hasil tangan Hayati.

Berkongsi mengenai keputusannya mengikuti bidang kemahiran berkaitan ERT yang sedikit lari dari perakaunan dan sains matematik, secara jujurnya Fatin mengakui ada bibit-bibit penyesalan.

Namun, ia tetap bersyukur kerana dengan gabungan ilmu yang dimiliki, ia memberi impak besar buat dirinya.

"Saya meminati sains matematik sejak di bangku sekolah dan dalam masa sama meminati bidang kemahiran.

"Jadi, apabila berpeluang menimba ilmu dalam dua bidang yang diminati, ia memberikan nilai tambah bukan saja kepada kerjaya saya nanti, tetapi juga kepada diri saya.

"Gabungan semua ilmu yang dipelajari itu membolehkan saya untuk berkomunikasi dengan baik terutama ketika mengajar murid di sekolah, membolehkan saya bertindak lebih cekap melakukan beberapa perkara dalam satu masa dan paling ketara memudahkan saya menguruskan akaun perniagaan terutama membabitkan kos operasi," katanya.

Dalam situasi penularan pandemik Covid-19 ini, kebanyakan masyarakat negara ini terjejas.

Justeru, kata Fatin, sedar atau tidak bidang kemahiran yang dimiliki mampu dimanfaatkan dan membantu mereka untuk terus bertahan.

"Disebabkan Covid-19 ini, ramai yang dibuang kerja dan salah satu langkah yang diambil adalah melakukan aktiviti jual beli.

"Ada yang menjual makanan, menjahit baju, menawarkan pelbagai perkhidmatan dan banyak lagi.

Situasi itu memperlihatkan kemahiran tidak kira memasak, bertukang, berkomunikasi dan apa juga jenis kemahiran yang dimiliki digunakan dengan sebaiknya.

"Gabungan ijazah dan ilmu dalam bidang profesional yang dimiliki kebanyakan mereka yang hilang pekerjaan tidak sia-sia bahkan semakin berkembang apabila ditambah dengan ilmu kemahiran," jelasnya.

Tiada salahnya jika seseorang itu mempunyai kelulusan dalam bidang lain, tetapi mengambil bidang kemahiran kerana ia dapat menambahkan lagi ilmu seseorang itu dalam mendepani dunia luar.

Justeru itu, Fatin berharap mereka yang berminat dalam bidang kemahiran, teruskan pelajari ilmu kemahiran yang diinginkan.

KEMAHIRAN ilmu yang mampu dikembangkan dan memberikan pulangan yang hebat.
KEMAHIRAN ilmu yang mampu dikembangkan dan memberikan pulangan yang hebat.

"Mengambil bidang kemahiran sangat bagus dan memberi masa depan cerah untuk setiap orang terutama lepasan graduan.

"Selepas menamatkan pengajian, saya berharap untuk menjadi guru. Bagaimanapun, jika tidak menjadi pengajar, saya boleh melakukan banyak perkara terutama dalam bidang perniagaan dengan gabungan ilmu yang saya pelajari," katanya.

Sementara itu, bagi Pengarah Farhabina (M) Sdn Bhd, Hayati Md Zin, keputusan untuk mengambil Sijil Reka Bentuk Hiasan Dalaman di Kolej Komuniti Shah Alam, Selangor adalah sesuatu yang tepat walaupun sudah mempunya ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang kejuruteraan awam. Menurutnya, sebagai jurutera, kemahiran yang dimiliki kebanyakan berkaitan struktur binaan.

"Apabila saya ada kemahiran lain dalam bidang pembinaan dan rekaan dalaman, ia mampu memperluaskan lagi kebolehan saya dan menaikkan kredibiliti saya sendiri.

"Dengan adanya kemahiran itu juga, apabila kita bercakap atau melontarkan pendapat, orang lebih percaya kerana kita ada ilmu. Itu antara kelebihannya.

"Pelanggan terutama dalam bidang reka bentuk hiasan dalaman juga akan lebih yakin, sekali gus percaya kita mampu merealisasikan apa yang dikehendaki mereka," katanya.

Hayati berkata, walaupun sudah memiliki jazah sarjana muda dan sarjana, namun tidak salah jika seseorang itu ingin menambah ilmu dalam bidang kemahiran pula.

Katanya, ilmu itu sangat bermakna dan meluas.

"Walaupun kita sudah menimba banyak ilmu, tetapi jangan pernah beranggapan kita sudah tahu semuanya.

"Jadi, dengan mempelajari bidang kemahiran lain, ia sebenarnya lebih memahirkan kita," katanya. Sebagai seorang yang mempunyai sarjana, menurut Hayati keputusannya mengambil sijil kemahiran adalah sangat tepat.

"Mempelajari kemahiran TVET dalam bidang reka bentuk hiasan dalaman di Kolej Komuniti Shah Alam ini sangat menyeronokkan.

"Hampir semua pembelajaran adalah berlandaskan kepada 'hands on' yang sangat berbeza dengan pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang lebih kepada teori.

"Cara pembelajaran itu membuatkan saya lebih cepat mahir, sekali gus memudahkan saya mengadaptasi semua yang dipelajari dalam perniagaan saya kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:01 AM