TAHFIZ-TVET tingkat kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET
TAHFIZ-TVET tingkat kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET
Suliati Asri


TIDAK hanya berjaya menghafaz al-Quran, tetapi melangkah keluar dari madrasah dengan dilengkapi ilmu kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Itu yang bakal dikecapi pelajar tahfiz di seluruh negara menerusi TAHFIZ-TVET Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.

Menerusi TAHFIZ-TVET itu, pelajar tahfiz bukan saja menerima satu, tapi dua sijil iaitu sijil menghafaz al-Quran dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang secara tidak langsung menjadi pelengkap kepada nilai tambah dalam kehidupan mereka.

Baru-baru ini, kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencetuskan idea untuk membangunkan model latihan TAHFIZ-TVET.

Ia adalah satu inisiatif dalam membentuk laluan kerjaya bagi pelajar tahfiz negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET.

Pembangunan model latihan ini adalah selaras dengan Teras 2, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 iaitu 'Mewujudkan Model Institusi Tahfiz'.

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam kenyataan berkata, untuk memastikan lepasan pelajar tahfiz mempunyai hala tuju yang lebih jelas selepas menamatkan pengajian, laluan kerjaya dalam bidang TVET perlu diperkemas.

Hal ini menurutnya perlu supaya mereka dapat menikmati peluang yang sama dengan pelajar pendidikan arus perdana.

"Pengwujudan kolaborasi antara Institusi Tahfiz dan Institusi TVET juga adalah salah satu mekanisme yang dilihat selari dan menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat ini," katanya.

Mengulas lanjut TAHFIZ-TVET ini lebih kepada pelajar tahfiz disuntikkan elemen TVET.

"Ia bermaksud madrasah itu sudah ada dan mempunyai pelajar. Jadi, pelajar itu yang akan didedahkan dan disuntikkan dengan elemen kemahiran TVET kepada mereka. "Itu yang berlaku dalam TAHFIZ-TVET ini," katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM) Datuk Awang Hisham menjelaskan melalui Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK), satu jawatankuasa kerja ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kerja Pembangunan TAHFIZ-TVET (JKK Pembangunan TAHFIZ-TVET).

JKK Pembangunan TAHFIZ-TVET ini dianggotai pelbagai agensi awam seperti JAKIM, Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri, Institusi TVET, Institusi Latihan Tahfiz Awam dan Swasta yang terbabit secara langsung dalam memperkasa pendidikan TAHFIZ-TVET di Malaysia.

Melalui penubuhan JKK ini pula, pelajar tahfiz akan memperoleh peluang mendapatkan latihan kemahiran yang sistematik melalui Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diiktiraf kerajaan.

MENERUSI TAHFIZ-TVET, pelajar tahfiz akan diterapkan dengan kemahiran TVET. - Gambar hiasan
MENERUSI TAHFIZ-TVET, pelajar tahfiz akan diterapkan dengan kemahiran TVET. - Gambar hiasan

Antara fungsi JKK ini adalah membantu dan menasihati institusi tahfiz negara dalam memperkasa kurikulum.

"Tahfiz mempunyai kurikulum sendiri. Jadi, JKK ini akan memperkasa kurikulum maksudnya pembelajaran tahfiz itu diterapkan dengan TVET.

"Jawatan kuasa ini juga akan memperkasa bahan pengajaran dan pembelajaran serta personel iaitu tenaga pengajar. Dengan itu tenaga pengajar yang ada di tahfiz juga akan didedahkan dengan elemen TVET," katanya.

"Dari segi pensijilan pula, apabila pelajar sudah menamatkan pengajian mereka akan dapat sijil madrasah dalam tahfiz dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang membolehkan mereka mempunyai dua nilai iaitu nilai hafazan dan nilai kemahiran. Itu yang nak dicapai," katanya.

Menyentuh soal operasi atau cara TAHFIZ-TVET ini dilaksanakan, jadual harian pelajar akan dimasukkan elemen TVET.

"Kalau kebiasaannya pelajar tahfiz menghabiskan masa seharian untuk mempelajari dan menghafaz al-Quran, dengan TAHFIZ-TVET ini, waktu pembelajaran mereka berubah sedikit.

DR Mohammad Shatar
DR Mohammad Shatar

"Nanti di sebelah pagi mereka akan mengikuti pembelajaran mengikut kurikulum dan jadual di madrasah. Namun, di sebelah petang pula mereka akan mengikuti pembelajaran TVET di institusi TVET berdekatan kawasan mereka," katanya.

Apabila pelajar tahfiz menerusi TAHFIZ-TVET ini menamatkan pengajian, pastinya mereka mempunyai kelebihan iaitu menghafaz al-Quran dan boleh melakukan kerja-kerja kemahiran.

Menurutnya, graduan TAHFIZ-TVET ini turut berpeluang bekerja dengan syarikat TVET ataupun berniaga dan menjadi usahawan dengan kemahiran yang mereka ada.

"Sebagai contoh, sebelum ini Institusi TVET iaitu Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) melaksanakan program latihan kemahiran membabitkan pendingin hawa di Ipoh bersama Institusi Tahfiz.

"Ketika pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar tahfiz menjalankan perkhidmatan servis pendingin hawa di kawasan sekitar tempat tinggal mereka dengan ilmu kemahiran yang mereka pelajari. Hal ini, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka.

"Lebih menarik, sambil mereka lakukan kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa itu, sekali gus mempraktikkan kemahiran yang dipelajari, mereka dapat mengulang kaji hafazan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, TAHFIZ-TVET membolehkan lulusan institusi tahfiz menggunakan kelayakan kemahiran berkenaan untuk pengembangan kerjaya mereka.

TAHFIZ-TVET meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET. - Gambar hiasan
TAHFIZ-TVET meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET. - Gambar hiasan

Beliau berkata, TAHFIZ-TVET ini juga akan menjadi suatu nilai tambah kepada lulusan tahfiz.

"Usaha ini pada pandangan saya bertujuan untuk menyediakan kemahiran bagi meningkat kebolehpasaran lulusan tahfiz.

"Semua program pengajian sama ada berbentuk TVET mahupun akademik perlu memberi pendedahan yang secukupnya berkenaan pengetahuan dan kemahiran sesuatu pekerjaan.

"Justeru, pendekatan TVET untuk bidang tahfiz yang memberi penekanan terhadap aspek praktikal sememangnya wajar," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana untuk melaksanakan idea ini, sekali gus mencapai objektif dari sudut pandang MQA, Mohammad Shatar berkata, objektif ini boleh dicapai dengan pelajar tahfiz mengambil program dalam bidang berkaitan kemahiran yang disediakan penyedia TVET iaitu program yang berteraskan pekerjaan.

"MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET. Penilaian kualiti yang dilaksanakan kedua-dua agensi pada prinsipnya setara dan pada asasnya memenuhi ketetapan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

"Ini termasuk program TAHFIZ-TVET yang diusahakan KSM.

"Berdasarkan prinsip artikulasi laluan TVET, graduan TAHFIZ-TVET berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada peringkat sarjana muda dan pascasiswazah," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sehingga hari ini, di peringkat MQA telah mengakredit sebanyak 27 program bidang tahfiz sejak tahun 2008.

Daripada jumlah itu, katanya, 17 sudah mempunyai akreditasi penuh iaitu 16 pada tahap diploma dan satu ijazah sarjana muda, manakala, 10 lagi program mempunyai akreditasi sementara iaitu satu sijil, 5 diploma serta empat ijazah sarjana muda.

"Satu program peringkat Diploma merupakan pengajian hibrid tahfiz dan pengurusan korporat.

"Penilaian akreditasi dibuat berdasarkan Program Standard Pengajian Islam yang telah diterbitkan oleh MQA," katanya.

Mohammad Shatar menambah, beliau berharap kerjasama ini dapat meningkatkan akses pendidikan tinggi berkualiti yang disediakan oleh penyedia TVET dalam bidang berkaitan.

"Saya juga berharap TAHFIZ-TVET ini mampu menyumbang terhadap pembangunan modal insan oleh golongan huffaz dan akhirnya dapat menyediakan peluang kerjaya pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 7:00 AM