KOLEJ Risda tawar kursus TVET dalam usaha tingkat kebolehpasaran generasi kedua PK, belia
KOLEJ Risda tawar kursus TVET dalam usaha tingkat kebolehpasaran generasi kedua PK, belia
Suliati Asri


PANDEMIK Covid-19 mengakibatkan peluang pekerjaan menjadi sangat terhad dan kebanyakan sektor ekonomi terkesan serta tidak aktif seperti kebiasaan.

Pekebun kecil (PK) yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) khasnya serta penduduk luar bandar secara umumnya turut menerima impak sama.

Kolej RISDA Sdn Bhd, syarikat milikan RISDA dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini membuka peluang pendidikan dengan menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) jangka pendek untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekebun kecil serta golongan belia terdiri daripada anak pekebun kecil, belia luar bandar termasuk masyarakat umum yang berhasrat meningkatkan kemahiran dalam teknikal dan vokasional.

Misi program TVET @ Kolej RISDA bagi menyahut saranan kerajaan melahirkan tenaga kerja yang mahir dan terlatih selain berupaya mencipta peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan dengan penekanan kepada bidang pertanian selain bidang lain diperlukan pasaran kerja.

Program TVET @Kolej RISDA juga diadaptasi dan responsif terhadap dasar kerajaan dalam usaha memastikan Jaminan Keselamatan Makanan Negara (National Food Security) dan mengambil kira kaedah pertanian moden dan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan pasaran.

Ia pelaburan yang sangat penting untuk masa depan keluarga pekebun kecil khususnya dan penduduk luar bandar amnya.

Selain memfokuskan pekebun kecil RISDA dan penduduk luar bandar, program TVET @ Kolej RISDA juga dibuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pelbagai pilihan program serta menekankan elemen pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai murni.

Ketua Eksekutif Kolej RISDA Sdn Bhd, Faizatul Akmar Hisan berkata, TVET @ Kolej RISDA diperkenalkan bagi memenuhi kehendak pasaran yang memerlukan tenaga kerja terlatih dalam bidang kemahiran terutamanya bidang pertanian , perladangan dan keusahawanan.

Menurutnya, program itu juga direka bagi melahirkan usahawan tani yang tidak hanya menjadi pencari kerja tetapi mampu menjadi penyedia pekerjaan.

"Untuk program ini, kami menyasar golongan belia berumur 18 tahun ke atas dan juga generasi kedua pekebun kecil RISDA terutamanya yang berminat bagi menceburi bidang usahawan tani yang dilihat memberi pendapatan yang cukup lumayan sekarang," katanya.

Mengulas lanjut, Faizatul Akmar berkata, program TVET @ Kolej RISDA mengetengahkan modul program yang direka khas dengan penekanan 80 peratus amali praktikal dan 20 peratus teori bertujuan membina kemahiran secara "hands-on" bagi setiap program ditawarkan.

"Bagi golongan pekebun kecil dan belia yang berminat menceburi bidang usahawan tani, mereka perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran tambahan bagi menjana pendapatan sampingan selain bergantung kepada hasil pertanian sedia ada.

"Oleh itu, dengan menyertai program ini, mereka akan dipersiapkan bukan sahaja dengan teknologi dan kaedah pertanian moden dan terkini malah peserta juga dilengkapkan dengan ilmu keusahawanan. Ia bagi memastikan peserta berupaya untuk terus berkecimpung dalam bidang usahawan tani dan tidak bergantung kepada bekerja makan gaji dengan majikan," katanya.

KOLEJ Risda tawar program TVET @ Kolej RISDA untuk meningkatkan kebolehpasaran generasi kedua pekebun kecil dan belia.
KOLEJ Risda tawar program TVET @ Kolej RISDA untuk meningkatkan kebolehpasaran generasi kedua pekebun kecil dan belia.

Program ini juga kata Faizatul Akmar mengetengahkan metodologi pembelajaran yang lebih kepada latihan bersifat praktikal selain ilmu teori.

"Sepanjang program, peserta akan diberikan projek khusus bagi bidang yang diambil.

"Ini bagi membolehkan peserta lebih mahir dalam pengendalian berbanding hanya bergantung kepada teori semata-mata," katanya.

Walaupun program yang ditawarkan ini jangka pendek iaitu selama dua bulan, namun ia cukup untuk mempertingkatkan kebolehpasaran peserta.

Faizatul Akmar berkata, tempoh dua bulan sudah cukup untuk memberi ilmu asas berkaitan yang kukuh.

Bagaimanapun, sekiranya peserta inginkan ilmu tambahan, mereka boleh menyertai program latihan tambahan lain yang turut disediakan seperti Kursus Pensijilan HALAL diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Bagi yang berhasrat menjalankan perniagaan makanan, Kolej RISDA Sdn Bhd menawarkan program Latihan Pengendali Makanan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Paling penting adalah ilmu asas secara praktikal selama dua bulan ini mampu memberi pengetahuan menyeluruh kepada peserta," katanya.

Selain itu kata Faizatul Akmar, peserta juga boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Diploma sehingga Sarjana Muda.

"Selain menjalankan kursus Latihan TVET dan konsultasi, Kolej RISDA Sdn Bhd juga mempunyai institusi pengajian tinggi iaitu Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

"UCAM turut menawarkan program akademik peringkat Asasi, Diploma dan Sarjana Muda yang turut memuatkan elemen TVET di dalam bidang pertanian dan perladangan," katanya.

UCAM kini menawarkan 20 program iaitu pengajian dalam bidang Sains Pertanian, Pengurusan Ladang, Perniagaan Tani, Landskap dan Pengeluaran Ternakan.

Selain bidang pertanian, bidang lain juga turut ditawarkan antaranya Rangkaian Komputer, Pengurusan Perniagaan, E-Perniagaan, Perakaunan, Keusahawanan, Komunikasi dan Pembangunan Luar Bandar.

Justeru, Faizatul Akmar berharap golongan belia yang terjejas oleh pandemik Covid-19 terutamanya generasi kedua pekebun kecil RISDA mengikuti Program TVET @ Kolej RISDA bagi meningkatkan skil kemahiran mereka.

TVET @ Kolej RISDA beri penekanan
TVET @ Kolej RISDA beri penekanan

"Melalui kemahiran yang ada mereka mampu mengolahnya menjadi satu pekerjaan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan.

"Ini kerana bidang pertanian dan perladangan dilihat antara bidang yang tidak terjejas akibat pandemik Covid-19 kerana keperluan produk pertanian sebagai sumber makanan adalah sentiasa ada dan mendapat permintaan tinggi," katanya.

Sementara itu, peserta program TVET @ Kolej RISDA, Basyaruddin Ali, 27, berkata dia sangat menyukai program itu walaupun jangka pendek kerana membolehkannya terus mempraktikkan ilmu diberi dan tidak bergantung dengan teori saja.

Menurutnya, yang juga Pengarah Urusan Laboo Landscapes Sdn Bhd, tujuan utamanya menyertai program itu untuk menambahkan lagi pengetahuan serta kemahiran dalam bidang landskap dan nurseri sekali gus mengaplikasikannya di dalam syarikat landskap diusahakan.

"Menerusi program ini, tunjuk ajar diberikan adalah secara komprehensif dan menyeluruh serta elemen praktikal yang banyak membolehkan saya menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih pantas.

"Setiap tugasan diberikan juga menguji tahap kefahaman dan tenaga pengajar sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar yang berterusan," katanya.

Mengikuti Kursus Landskap dan Nurseri di bawah Program TVET @ Kolej RISDA, antara kemahiran dipelajari Basyaruddin ialah kemahiran menghasilkan landskap kejur di taman seperti penghasilan kerusi, meja taman, kolam air terjun, mempelajari teknik pembinaan yang betul melalui perancangan pelan landskap yang sudah direkabentuk serta menjalankan kerja pembinaan taman di tapak.

Dalam keadaan sukar disebabkan pendamik Covid-19 ini, Basyaruddin berkata, bidang landskap dan pertanian mempunyai potensi sangat luas.

Oleh itu, Basyaruddin menyeru belia yang masih was-was untuk mendalami bidang landskap atau pertanian untuk turut serta dalam program TVET @ Kolej RISDA ini.

"Jika bidang ini dilakukan secara bersungguh-sungguh, ia akan memberikan pendapatan yang lumayan.

"Program ini juga secara tidak langsung akan memberi ruang kepada usahawan belia moden untuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang di luar sana," katanya.

Basyaruddin bercadang meluaskan lagi perniagaannya dengan mengeluarkan produk sendiri selain perkhidmatan landskap dan nurseri.

"Saya juga berhasrat menambah lagi cawangan supaya saya dapat membantu lebih ramai orang di luar sana yang sedang mencari pekerjaan supaya berpeluang menjana pendapatan dan berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

Antara program TVET ditawarkan adalah Pengurusan Nurseri dan Landskap, Pengurusan Ladang, Penternakan, Akuakultur dan Agroteknologi.

Program TVET ini dijalankan selama dua bulan di kampus UCAM di Melaka.

Mereka yang berminat mengikuti program dan permohonan kemasukan boleh melayari www.ucam.edu.my.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi

Pegawai Pemasaran Kolej RISDA Nadiah (0176922535), Syimah (0163152075), Zezy (01135401979) dan Noridah (0132169466).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:00 AM