KEPAKARAN pelajar program pendidikan dan latihan diperlukan dalam kebanyakan urusan perniagaan seharian.
KEPAKARAN pelajar program pendidikan dan latihan diperlukan dalam kebanyakan urusan perniagaan seharian.
Suliati Asri


PROGRAM Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pilihan kedua?

Ramai yang beranggapan ia adalah pilihan kedua, namun hakikatnya program pendidikan dan latihan ini mempunyai kelas tersendiri.

Selain proses pendidikannya lebih menuju arah industri yang memerlukan tenaga kerja terlatih serta berkemahiran tinggi, namun peluang kerjaya yang boleh diceburi juga lebih meluas.

Pengarah Urusan Flavorista (M) Sdn Bhd, Norisham Baharin, 32, berkata, setiap individu mempunyai kecenderungan masing-masing dan indikasi kejayaan itu berbeza.

Menurutnya, ada yang mengatakan memegang jawatan profesional seperti doktor atau peguam itu berjaya. Begitu juga menjadi artis.

"Bagi saya ada orang kecenderungannya lebih kepada teknikal dan vokasional. Jadi, itu adalah indikasi kepada kejayaannya. Minatnya yang mendalam kepada kemahiran.

MINAT mendalam melakukan perkara baharu dorong Norisham guna kemahiran dan bangunkan kilang perusahaan makanan dan minuman.
MINAT mendalam melakukan perkara baharu dorong Norisham guna kemahiran dan bangunkan kilang perusahaan makanan dan minuman.

"Jadi, tiada istilah 'double standard' atau pilihan kedua untuk bidang TVET ini," katanya.

TVET ini kata Norisham, sesiapa menguasai bidang kemahiran, ia lebih dekat kepada perniagaan.

Melanjutkan pengajian Diploma Teknologi Makanan Pengurusan Halal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah pada 2007, Norisham mengakui memilih program TVET kerana minatnya kepada perniagaan.

"Setiap kemahiran yang diperoleh pelajar adalah berbeza mengikut kepada kursus yang diikuti.

"Namun kepakaran pelajar TVET sebenarnya diperlukan dalam kebanyakan urusan perniagaan seharian.

"Jadi, kita boleh menggunakan skil yang ada dan melabur dalam benda yang baharu mengikut peredaran teknologi," katanya yang menceburi bidang perniagaan selepas menyedari bakat pelajar TVET boleh dijadikan sebagai perniagaan ketika bekerja di Sime Darby dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Saya juga minat untuk melakukan benda baharu. Alhamdulillah, dengan kemahiran dan ilmu yang ada, saya bangunkan kilang perusahaan makanan dan melabur dalam menghasilkan 'benda' baharu dalam masakan serta minuman," tambahnya.

Seperti sesetengah pelajar lain, keputusan mengikuti kursus TVET turut dipertikaikan.

Menitipkan nasihat buat masyarakat di luar sana yang mungkin berasakan TVET ini pilihan kedua, Norisham berkata, bidang ilmu, kedudukan ilmu itu sangat luas.

IMRAN melakukan kerja membaiki motosikal.
IMRAN melakukan kerja membaiki motosikal.

"Kita tak boleh memperkecilkan kedudukan ilmu itu pada tangga kelulusan seperti sijil, diploma dan ijazah.

"Ia memang betul tangga pendidikan itu penting menentukan tahap individu itu, tetapi sebenarnya kalau kita tak pakai ilmu yang kita ada walaupun ada ijazah doktor falsafah (PhD), kita tidak boleh menyumbang apa-apa kepada masyarakat pun sebenarnya.

"Jadi, bagi pelajar di luar sana, jangan teragak-agak untuk mengambil TVET ini kerana apa yang dipelajari di kolej berbeza kerana ia lebih kepada kemahiran dan latihan," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar Kolej Komuniti, Imran Abdul Rahman, 22, berkata, bidang kemahiran atau TVET ini bukan pilihan kedua sebaliknya ia mempunyai kelas tersendiri.

Menurutnya, dia memilih untuk menyambung pengajian di Kolej Komuniti Bagan Datuk dalam Kursus Sijil Penyenggaraan Motosikal (Berkuasa Tinggi) bukan kerana tiada pilihan, tetapi minatnya terhadap automotif dan teknikal terutama yang membabitkan motosikal.

"Ketika memutuskan untuk mengikuti kursus penyelenggaraan motosikal berkuasa tinggi di peringkat sijil, ada rakan-rakan yang mempertikai kenapa memilik kurus itu sedangkan saya boleh mengambil kursus dalam bidang akademik di peringkat yang lebih tinggi.

"Namun pada saya, apa yang lebih utama adalah minat. Apabila kita minat, kita akan lebih fokus dan berjaya," katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di Harley-Davidson Petaling Jaya.

Mengulas mengenai kemahiran berbanding bidang akademik, kata Imran, kursus yang membabitkan kemahiran ini cukup memberikan ilmu yang lebih mendalam buat pelajar kerana pembelajarannya lebih kepada amali.

"Kalau bidang akademik, pembelajarannya lebih kepada teori berbanding kemahiran yang lebih memfokuskan kepada latihan amali. Jadi, ia memudahkan pelajar memahami secara terus apa yang dipelajari.

"Kemahiran juga bukan untuk orang bodoh, tetapi lebih kepada mereka yang inginkan kemahiran yang boleh memberi mereka nilai tambah. Ilmu kemahiran yang diperoleh juga boleh berkembang dan kekal sehingga bila-bila," katanya.

"Selain itu, tidak semua graduan dalam bidang akademik mendapat pekerjaan sama seperti kelulusan mereka, tetapi dengan kemahiran, peluang itu lebih meluas dan boleh membawa seseorang itu pergi jauh," tambahnya.

Sudah bekerja hampir tiga tahun, Imran akui pengetahuan dalam bidang membaiki motosikal berkuasa tinggi ini semakin bertambah.

Menurutnya, apa yang dia pelajari di kolej dulu hanya 30 peratus, tetapi apabila sudah bekerja, ilmu itu setiap masa bertambah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 6:20 AM