FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

SAYA seorang penuntut di sebuah kolej. Kawan serumah saya sering ikut kawan lelakinya menaiki motosikal tanpa ada perasaan malu. Kadang-kadang, saya lihat dia yang terlebih berani memegang tangan kawan lelakinya itu. Kawan saya ini juga suka memakai pakaian ketat dan haruman yang boleh menarik perhatian lelaki. Kalau di rumah, dia juga suka berkaraoke sehingga mengganggu jiran yang tinggal berdekatan. Saya rasa malu tinggal serumah dengannya. Malah, segala teguran saya kepadanya juga tidak pernah diendahkan.

Rakan Kecewa, Serdang

MALU adalah sifat yang mempunyai nilai akhlak yang sangat tinggi. Sifat itu hanya khusus kepada manusia dan tidak ada pada haiwan. Sekiranya hilang sifat malu, maka hilanglah nilai kemanusiaan dalam diri seseorang dan yang tinggal hanya darah, daging dan tulang.

Sebenarnya, nabi terdahulu sentiasa mewasiatkan kepada kaum mereka supaya ada sifat malu. Satu hadis daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari al-Badri, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang diketahui oleh manusia daripada kalam para nabi terdahulu ialah, ‘Jika engkau tidak malu, buatlah sesukamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Sifat malu penting kerana ia mengajak manusia supaya menghiasi diri dengan sifat mulia dan menghindari sifat hina. Menurut Ibn Qayyim, malu berasal daripada kata ‘al-Hayaa’ bermaksud hidup.

Orang yang hidup hatinya sangat bergantung dengan sifat malu. Sekiranya seseorang hilang sifat malu menunjukkan hatinya juga sudah mati. Maknanya, kadar hidup hati seseorang itu bergantung kepada sifat malunya. Malu adalah akhlak nabi. Kerana itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malu itu kebaikan keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Orang yang mempunyai sifat malu menunjukkan tanda keimanannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman memiliki lebih tujuh puluh atau enam puluh cabang. Dan cabang paling rendah ialah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan malu adalah salah satu daripada cabang iman.” (Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya manusia tidak memiliki sifat malu, tidak ada yang dapat menahannya daripada terjatuh ke lembah dosa dan maksiat.

Seseorang itu tidak akan melakukan zina, merompak, mencuri dan meragut sekiranya ada sifat malu. Selain itu, seseorang yang mempunyai sifat malu juga tidak akan mengambil rasuah, bercakap lucah atau menulis perkara maksiat di laman sosial.

Malu akan menahan seseorang daripada melakukan penderhakaan kepada Allah SWT dan mengundang kehinaan manusia. Seorang wanita Muslimah sepatutnya menghiasi diri dengan sifat malu.

Al-Quran merakamkan keindahan sifat malu kepada wanita ketika Allah SWT menceritakan berkenaan seorang anak gadis daripada suku Madyan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qashas, ayat 25: “Kemudian salah seorang daripada dua beradik itu datang mendapatkannya (Nabi Musa) dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambal berkata: “Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternakan kami.”

Walaupun gadis itu bekerja mengambil tugas ayahnya, Allah SWT merakamkan cara berjalan wanita itu seperti seorang gadis suci dan terhormat ketika bertemu lelaki.

Walaupun malu tetapi dia masih dapat menjelaskan maksud kedatangannya dengan terang dan tidak menggoda. Dia bercakap sesuai dengan keperluan dan tidak berlebih-lebihan serta tidak merangsang nafsu lelaki.

Apabila wanita tidak menjaga sifat malu, terjadilah masalah yang berlaku dalam masyarakat hari ini seperti tomboi, bersolek berlebih-lebihan (tabarruj), bercakap apa yang disukainya serta pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan dibenarkan syariat. Percayalah kehidupan akan lebih indah dan berharga sekiranya sifat malu menghiasi diri.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 2:01 AM