WUDUK dapat meredakan rasa marah dalam diri.
WUDUK dapat meredakan rasa marah dalam diri.
Mohd Shahrizal Nasir

Sifat marah antara punca berlakunya masalah yang lebih besar dalam kehidupan bermasyarakat. Jika seseorang individu tidak dapat mengawal marah, pergaduhan besar boleh berlaku malah tidak mustahil hingga menyebabkan pertumpahan darah.

Marah salah satu senjata syaitan yang paling tajam. Syaitan sentiasa mengimpikan manusia tinggal bersamanya di dalam neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencapai impiannya.

Setiap Muslim perlu sedar, jika gagal mengawal kemarahan diri bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan yang dilaknat Allah SWT.

Menjauhi sifat marah antara nasihat Rasulullah SAW. Perkara itu dijelaskan menerusi sebuah hadis, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat.”

Baginda bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali. Nabi menjawab: “Jangan marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, diriwayatkan pada satu ketika ada dua orang saling mencela di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan sehingga berubah wajahnya.

Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Muttafaq ‘alaih)

Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dilindungi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200)

Rasulullah SAW juga menganjurkan umat Islam yang sedang dikuasai marah mengubah keadaan fizikal mereka. Apabila seorang sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan dia duduk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Selain itu, umat Islam dianjurkan diam daripada berkata-kata ketika sedang marah. Bayangkan, jika rasa marah tidak dapat dikawal, pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan akan terhambur keluar daripada mulut.

Sifat sabar amat diperlukan. Tanpa sabar, tidak mungkin seseorang itu mampu diam sedangkan marah sedang mengusai diri. Amat wajar bagi setiap Muslim menanamkan sifat sabar dalam diri, lebih-lebih lagi ketika marah.

Jika diperhatikan dalam al-Quran, ada banyak ayat yang menyatakan Allah SWT sentiasa bersama-sama golongan yang sabar.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66)

Islam juga menganjurkan orang yang sedang marah segera mengambil wuduk. Selain berfungsi sebagai penghapus dosa kecil, wuduk juga boleh menghilangkan perasaan marah yang menjadi antara punca berlakunya dosa lain. Pelbagai kaedah dianjurkan oleh Islam bagi mengatasi sifat marah.

Pengiktirafan yang tinggi akan diberikan kepada mereka yang berjaya mengawal diri mereka ketika marah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ganjaran besar itu membuktikan usaha mengawal perasaan marah bukanlah usaha mudah. Tanpa kekuatan dalaman yang kuat dan ikhlas dalam menempuh dugaan, manusia akan tewas dengan ‘senjata’ syaitan itu.

Buatlah pilihan terbaik dengan melakukan cadangan yang diberikan Rasulullah SAW bagi mengawal perasaan marah.

Mengawal sifat marah bukan sahaja ketika kita berdepan orang yang lebih berkuasa seperti ketua di tempat kerja, sebaliknya kala bertindak sebagai ketua itulah masanya untuk berusaha menjauhi kemarahan kepada orang yang berada di bawah. Setiap insan ada perasaan. Jadi jangan semudahnya melepaskan kemarahan dalam diri.

Penulis pensyarah Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:51 PM