SIFAT malu merupakan di antara kunci utama yang menarik kebaikan dan ketenangan dalam diri.
SIFAT malu merupakan di antara kunci utama yang menarik kebaikan dan ketenangan dalam diri.
Bersama Dr Amani Nawi

Malu lambang kepada akhlak yang mulia. Sifat malu dalam kerangka agama Islam merupakan 'benchmark' kepada kualiti iman seseorang muslim. Sekiranya kita merujuk kepada kamus dewan bahasa Melayu, perkataan malu bermaksud perasaan aib, hina, rendah diri kerana melakukan sesuatu yang salah atau tidak sopan.

Manakala daripada sudut pandangan Islam, Ibnu Hajar dalam kitab karangannya Fath al-Bari menjelaskan malu iaitu al-haya' adalah satu sifat yang mendorong pemiliknya melakukan perkara yang terpuji dan mencegahnya daripada perbuatan yang keji. Ulama yang lain mentakrifkan malu adalah sifat yang menahan seorang manusia itu daripada melakukan sesuatu perkara yang akan menyebabkan dirinya dihina, sama ada perkara buruk itu besar atau remeh.

Rasulullah SAW pernah ditanya para sahabat tentang sifat malu ini. Baginda menjawab, malu yang sewajarnya adalah malu kepada Allah dan baginda menyuruh supaya sahabat bersungguh-sungguh dalam memupuk sifat malu kepada Allah. Para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksudkan dengan malu kepada Allah yang sebenar-benarnya?." Baginda SAW menjawab: "Dengan memelihara kepala iaitu apa yang di dalam fikiran, menjaga perut dan apa yang menjadi keinginannya, mengingati mati dan mengutamakan akhirat daripada kesenangan dunia, maka sesiapa yang telah melakukan perkara ini sesungguhnya dia telah benar-benar malu kepada Allah" (Riwayat Imam Ahmad dan Termizi)

Sehubungan dengan itu, malu dianggap sebahagian daripada iman. Sifat malu hakikatnya adalah buah yang terhasil daripada pokok yang bernama iman. Seperti mana sabda Nabi SAW: "Malu dan iman seperti satu ikatan, sekiranya salah satu daripadanya dileraikan, maka terlerailah juga yang kedua." (Riwayat Abu Hakim dan al-Baihaqi)

Manakala dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu." (Riwayat Ibnu Majah)

Malu dianggap sebagai pakaian takwa yang menyerlahkan kemuliaan dan kehormatan orang islam. Pepatah Arab ada menyebut "Sesiapa yang menjadikan malu sebagai pakaiannya, orang tidak akan dapat melihat keaiban dirinya."

Sifat malu bukan sahaja cantik dipakai oleh lelaki, malah ia lebih cantik sekiranya dipakai oleh perempuan. Sifat malu akan menjadikan seseorang yang hodoh kelihatan cantik, manakala orang yang cantik akan kelihatan hodoh apabila hilang perasaan malu.

Oleh yang demikian, malu antara sifat yang sangat dititikberatkan oleh sahabat dan salafussoleh. Hal ini adalah kerana sifat malu merupakan di antara kunci utama yang menarik kebaikan dan ketenangan dalam diri. Abu Hatim menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-Uqala Wa Nuzhah al-Fudhala: "Seseorang yang memiliki sifat malu menandakan dirinya telah mendapat kebaikan, manakala orang yang kurang sifat malu akan selalu melakukan perkara yang tidak sopan kerana kebaikan dirinya telah hilang". Menurut Abu Hatim lagi, malu merupakan benteng yang memisahkan seseorang itu dengan segala perkara yang mengaibkan, semakin seseorang itu berasa malu, semakin jauh dia daripada perkara yang terkutuk, sebaliknya semakin hilang perasaan malu, semakin dekat lah dia dengan perlakuan buruk tersebut.

Sesungguhnya malu sangat besar peranannya dalam mencorakkan kehidupan orang Islam. Seseorang yang hilang sifat malu, akan berani melakukan maksiat kepada Allah secara sembunyi mahupun terang-terangan. Nabi SAW bersabda: "Sekiranya kamu tidak malu, maka buatlah sesuka hati mu."

Jelaslah di sini sifat malu boleh menghindarkan diri kita daripada melakukan maksiat kepada Allah dan mendekatkan kita kepada kebaikan yang banyak. Namun pada hari ini, kita melihat sifat malu ini seolah-olah semakin pudar malah kian pupus dalam masyarakat Islam.

Wanita mahupun lelaki tanpa segan silu memuat naik gambar-gambar dan video yang tidak mengikut syariat untuk dipertontonkan oleh orang ramai. Hal-hal yang sepatutnya disembunyikan daripada pandangan umum kini tidak lagi menjadi rahsia. Godaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Tik Tok yang semakin mendapat sambutan pada masa kini seakan berjaya meruntuhkan tembok malu dalam diri umat Islam.

Fenomena seperti menari di khalayak ramai, melakukan maksiat secara terang-terangan dan memperlihatkan aurat untuk tontonan umum sudah menjadi norma dalam masyarakat hari ini. Sifat malu yang dikatakan menjadi fitrah seorang wanita juga sudah kian terhakis daripada keperibadian mereka. Normalisasi ini sekiranya tidak diambil tindakan sama ada secara lisan (teguran) atau tangan (kuasa), maka ia akan terus merebak dalam masyarakat, seterusnya memberi kesan kepada generasi umat Islam di masa hadapan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "....maka berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran serta berpesan-pesanlah dengan sabar" (Surah al-Asr, ayat 3)

Penulis Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:02 AM