FOTO  pixabay.com
FOTO pixabay.com
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya sudah berkahwin selama lima tahun dan dikurniakan dua anak. Saya kesal isteri suka meremehkan kebaikan saya dan bercakap kasar.

Jika dengan orang lain dia bercakap cukup lembut dan bersopan-santun. Isteri saya juga suka membantah arahan saya dan tidak menguruskan rumah, makan, minum dan pakaian dengan baik. Adakah sikapnya itu satu dosa?

Zafri, Sungai Petani

Isteri mempunyai peranan yang besar dalam menguruskan rumah tangga supaya lebih teratur dan tersusun. Isteri adalah ‘permaisuri’ buat suaminya. Ketaatan kepada suaminya adalah kewajipan selagi tidak menyalahi syariat. Dalam satu hadis menyebut: “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang sujud pada orang lain, nescaya aku akan perintahkan seorang wanita sujud kepada suaminya kerana besar hak yang diberikan Allah kepada suami atas isterinya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Menurut Syeikh Abdul Rahman al-Mubarakfuri, hadis itu bersifat mubalaghah (bersangatan) yang menunjukkan ketinggian bahasa Arab betapa wajibnya seorang isteri taat kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas dirinya, sedangkan sujud tidak dibenarkan kepada sesiapa saja selain Allah SWT. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi jilid 3 hlm 238)

Apabila seseorang bergelar isteri, kunci syurganya ada pada suami. Justeru, isteri hendaklah berusaha membuat suaminya gembira dan reda.

Isteri hendaklah mengingatkan dirinya beberapa pesanan Nabi SAW antaranya: “Mana-mana wanita yang meninggal dunia lalu suaminya reda padanya, maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Nabi SAW juga berpesan: “Perhatikanlah bagaimana hubunganmu dengan suamimu kerana sesungguhnya dialah syurga dan nera kamu.” (Riwayat Ahmad)

Saya ingin mengemukakan beberapa kesalahan yang sering dilakukan sebahagian isteri supaya mereka menjauhinya.

Pertama ialah sikap suka meremehkan kebaikan suami. Sedangkan Rasulullah SAW berpesan: “Aku diperlihatkan neraka ternyata kebanyakan penghuninya ialah wanita kerana mereka sering mengingkari.

“Sahabat bertanya: “Adakah mereka mengingkari Allah? Rasulullah SAW menjawab: “Mereka mengingkari pemberian dan kebaikan suami. Seandainya kamu berbuat baik kepada mereka sepanjang masa, kemudian mereka melihat satu saja keburukanmu, maka mereka berkata: “Aku tidak pernah langsung melihat kebaikanmu.” (Riwayat al-Bukhari)

Kedua, berpuasa sunat tanpa keizinan suami. Sabda Nabi SAW: Janganlah seorang wanita berpuasa ketika suaminya ada kecuali dengan izinnya.” (Riwayat Muslim) dan puasa itu merujuk puasa sunat.

Ketiga, memberi orang lain masuk rumah tanpa keizinan suami. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang wanita membenarkan orang lain masuk ke dalam rumahnya kecuali dengan izin suami. Sesuatu yang disedekahkan isteri atas usaha suami tanpa pengetahuannya, maka setengah pahala sedekah itu milik suaminya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat, mendedahkan aib pasangan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia paling teruk di sisi Allah pada hari Kiamat nanti ialah orang yang bersetubuh dengan isterinya dan isterinya bersetubuh dengannya, kemudian dia menceritakan aibnya.” (Riwayat Muslim)

Kelima, menceritakan penampilan wanita lain kepada suaminya. Sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang wanita menceritakan sifat-sifat wanita lain kepada suaminya sehingga dia seolah-olah melihat wanita itu.” (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, berhias bukan untuk suaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan wanita yang bangga dan sombong memperlihatkan perhiasannya kepada selain suaminya bagaikan kegelapan pada hari kiamat. Tidak ada cahaya sedikit pun padanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ketujuh, meminta cerai tanpa sebab. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebarang sebab maka haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Dawud)

Kelapan, meminta suami menceraikan madunya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang wanita meminta suaminya menceraikan madunya supaya nafkah bahagiannya bertambah banyak. Sesungguhnya baginya ialah apa yang Allah takdirkan untuknya.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitulah antara kesalahan yang sering dilakukan isteri yang perlu dijauhi agar tidak berdosa.

Jika benar ada yang pernah melakukannya, hendaklah meminta maaf kepada suami dan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 5:40 AM