FOTO Reuters
FOTO Reuters
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya sering mengatakan insya-Allah ketika seseorang menjemput datang ke rumahnya atau sesuatu tempat yang dijanjikan untuk bertemu.

Apakah maksud insya-Allah? Adakah wajib bagi saya mengucapkannya dan bagaimana jika terlupa mengucapkannya?

Insan lupa, Selangor

Maksud ucapan insya-Allah ialah jika Allah menghendaki. Ucapan itu menunjukkan kelemahan diri manusia dan mengakui kesempurnaan serta kekuasaan Allah SWT.

Seorang Muslim yang mengucapkan insya-Allah bermakna dia meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.

Biasanya ucapan itu diungkapkan ketika berjanji atau merancang untuk melakukan sesuatu pada waktu yang akan datang.

Seseorang yang mengucapkan insya-Allah dalam keadaan dia tidak tahu perkara yang ingin dilakukan itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

Ucapan itu juga menunjukkan seseorang memohon pertolongan Allah supaya apa yang hendak dilakukannya akan dipermudahkan.

Setiap yang berlaku hakikatnya adalah atas kehendak dan takdir Allah. Seseorang yang tidak mengucapkan insya-Allah, seolah-olah dia mengakui dirinya berkuasa menentukan segala sesuatu dan mengetahui perkara yang akan berlaku.

Menurut Ibnu Abbas, jika seseorang terlupa sesuatu walaupun selepas setahun lamanya, dia tetap perlu mengucapkannya untuk mencontohi sunah Rasulullah SAW.

Ada beberapa peristiwa pernah berlaku pada zaman nabi terdahulu, ketika mereka tidak mengucapkan insya-Allah ketika pada sesuatu perkara yang akan berlaku atau menjanjikan sesuatu, lalu ditegur oleh Allah.

Sebaliknya, apabila mengucapkan insya-Allah, mereka mendapat kemudahan dan hasil yang baik pada akhirnya.

Contohnya, berkenaan suruhan mengucapkan kalimah (insya-Allah) ini, Abu Hurairah meriwayatkan bahawa: Sulaiman bin Dawud berkata, “Sesungguh-sungguh aku akan berkeliling (menggauli) 100 isteriku malam ini sehingga setiap wanita akan melahirkan anak yang akan berjihad pada jalan Allah.”

Kemudian satu malaikat mengucapkan kepada baginda, ucapkan insya-Allah. Tetapi Nabi Sulaiman tidak mengucapkannya dan terlupa.

Kemudian baginda menggauli isteri-isterinya dan hasilnya tidak ada yang melahirkan anak kecuali seorang wanita melahirkan anak yang tidak sempurna.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya baginda mengucapkan insya-Allah, nescaya baginda tidak melanggar sumpahnya dan hajatnya akan lebih terpenuhi.” (Riwayat al-Bukhari)

Antara faedah hadis itu ialah ucapan insya-Allah jika disebut dalam sumpah, kemudian tidak mencapai apa yang diinginkan, maka orang itu tidak dianggap melanggar sumpah.

Selain itu, orang yang mengucapkan insya-Allah, hajatnya akan mudah dipenuhi.

Ibnu Kathir menyebutkan, ketika Nabi SAW ditanya sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Kahfi, Nabi SAW terus menjawab bahawa Baginda akan menjawabnya esok.

Namun, wahyu tidak turun dan hanya turun selepas 15 hari. Oleh itu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW tidak menyatakan sesuatu secara pasti kecuali diiringi kata-kata berkenaan dengan mengucapkan dengan izin Allah.

Jika terlupa, maka apabila teringat ucapkanlah walaupun sudah terlambat.

Sebab itu, Allah memberikan bimbingan adab kepada Nabi supaya jangan mengucapkan seperti “Esok saya akan buat begini dengan memastikan perkara itu.”

Tetapi hendaklah dia mengucapkan insya-Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah sekali-kali engkau mengucapkan: “Sesungguhnya aku akan melakukan perkara itu esok. Kecuali dengan mengucapkan insya-Allah. Dan ingatlah Tuhanmu ketika engkau lupa. Dan ucapkanlah: Semoga Tuhanku memberikan petunjuk pada jalan terdekat menuju hidayah.” (Surah al-Kahfi, ayat 23-24)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut: “Ini adalah petunjuk daripada Allah dan Rasul-Nya kepada adab.

“Jika Baginda tekad untuk melakukan sesuatu perkara pada masa akan datang, hendaklah dia mengembalikan perkara berkenaan kepada kehendak Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib serta Maha Mengetahui apa yang sudah berlaku, apa yang sedang atau akan berlaku atau apa yang tidak berlaku sekiranya ia terjadi.”

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:13 PM