Hafiz Ithnin


ACCIDENT doktor! Mungkin itu antara jawapan diberikan pasangan yang berkahwin, tetapi ingin merancang kehamilan disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan atau komitmen kehidupan yang tidak mengizinkan.

Perunding Sakit Puan Metro IVF, Dr Ahmad Zharif Hussein berkata, kualiti kehidupan yang baik sememangnya memerlukan persediaan dari segi kewangan dan perancangan keluarga. Ia bagi menampung peningkatan kos sara hidup dari segi kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan jalur lebar selain keperluan asas.

Jelasnya, ramai pasangan yang merancang untuk mengehadkan bilangan anak supaya kualiti dan komitmen yang baik dapat diberi kepada setiap ahli keluarga.

"Kini ada pelbagai pilihan kaedah perancangan keluarga. Namun doktor akan menyarankan alat pencegah kehamilan yang bersesuaian bergantung kepada umur, berat badan, keadaan kesihatan dan pengambilan ubat-ubatan (sekiranya ada).

"Sistem pembiakan wanita terdiri daripada beberapa organ termasuk ovari, tiub fallopio, rahim, serviks dan faraj. Ovari ialah dua organ kecil yang menghasilkan telur (ovum) dan hormon," katanya.

Pakar itu berkata, ovari biasanya mengeluarkan satu telur matang setiap bulan. Dua tiub fallopian memanjang mengangkut telur matang ke rahim dan persenyawaan dengan sperma berlaku. Maka janin bakal terbentuk.

"Untuk mencegah kehamilan daripada berlaku demi kualiti kehidupan yang baik, ada beberapa kaedah yang menjadi pilihan wanita seperti pil perancang. Hormon dalam pil perancang berfungsi menghalang ovulasi.

NEXPLANON antara alternatif untuk merancang kehamilan.
NEXPLANON antara alternatif untuk merancang kehamilan.

"Dengan cara ini, tiada ovum yang boleh senyawakan sperma dan kehamilan tidak dapat berlaku. Pil perancang juga menyebabkan lendiran atau mukus pada serviks menebal," katanya.

Tambahnya, mukus yang tebal menyebabkan sperma sukar melepasi untuk menyebabkan persenyawaan. Ada pesakit yang perlu mengambil pil selama 21 hari, 28 hari dan juga sehingga 12 minggu.

"Kaedah pengambilan pil ini bergantung kepada keperluan individu selain saranan dan pemantauan daripada doktor," katanya.

Dr Ahmad berkata, suntikan (depo) juga menjadi alternatif kepada perancangan kehamilan. Suntikan perancang ini mengandungi hormon progesteron yang menyerupai hormon progesteron dihasilkan ovari wanita.

HORMON dalam pil perancang berfungsi menghalang ovulasi.
HORMON dalam pil perancang berfungsi menghalang ovulasi.

"Hormon ini bertanggungjawab menghalang wanita itu daripada hamil walaupun melakukan hubungan seks tanpa perlindungan," katanya.

Jelasnya, kaedah suntikan ini sesuai kepada wanita yang kerap lupa untuk mengambil pil perancang kerana perlu diambil sekali dalam tiga bulan dan dilakukan doktor.

Selain itu katanya, implan hormon (nexplanon) juga menjadi salah satu pilihan dalam perancangan keluarga. Satu set tiub kecil dipasang di bahagian lengan.

"Implan kontraseptif ini memberikan dos hormon progestasional yang rendah dan stabil untuk memekatkan lendir serviks serta menipiskan lapisan rahim selain mengganggu kitaran ovulasi.

SISTEM pembiakan wanita.
SISTEM pembiakan wanita.

"Kaedah ini mampu menghalang kehamilan sehingga tiga tahun namun tidak sesuai untuk semua wanita. Perbincangan lanjut bersama doktor penting dalam menentukan kesesuaian pemakaian nexplanon," katanya.

Katanya, alat Intrauterin (IUD) juga menjadi pilihan. Ia adalah sebuah alat mencegah kehamilan yang dipasang di dalam rahim wanita. Ia berbentuk seakan huruf 'T' dan mampu bertahan sehingga 5 tahun.

"IUD mempunyai dua jenis iaitu Copper, alat yang disaluti tembaga ini akan menyebabkan rahim dan tiub fallopio secara tidak langsung menghasilkan cecair yang boleh merosak atau membunuh sperma.

"Kedua, Mirena iaitu alat yang mengandungi hormon progesteron ini akan membuat mukus dan serviks tebal serta melekit supaya sperma tidak dapat tembus ke rahim lalu merosak selain membunuh sperma," katanya.

SUNTIKAN perancang mengandungi hormon progesteron yang menyerupai hormon dihasilkan ovari wanita.
SUNTIKAN perancang mengandungi hormon progesteron yang menyerupai hormon dihasilkan ovari wanita.

Katanya, kaedah ikatan juga antara yang popular dalam perancangan keluarga. Pengikatan tiub bertujuan untuk mengganggu fungsi tiub fallopio supaya telur tidak dapat disenyawakan dengan sperma sekali gus menghalang kehamilan daripada berlaku.

"Wanita masih mengalami ovulasi selepas pengikatan tiub tetapi telur akan diserap tubuh. Ligasi tiub adalah prosedur pesakit luar dengan pemulihan yang cepat dan berkesan serta-merta.

"Pembedahan dilakukan secara laparoskopi iaitu doktor akan melakukan pembedahan kecil di bahagian perut dan memasukkan kamera untuk mengikat tiub fallopio," katanya.

Tambahnya, pengikatan tiub boleh menyebabkan perubahan haid dalam pelbagai cara. Bekalan darah ke ovari mungkin terganggu dan berkurangan boleh menyebabkan disfungsi ovari dan mengubah pengeluaran dan atau pelepasan estrogen serta progesteron ovari.

"Mungkin juga terdapat gangguan hormon estrogen dan progesteron dari ovari ke rahim yang membawa kepada kerosakan endometrium. Selain itu, risiko-risiko lain yang mungkin dialami wanita sama ada melalui pengambilan pil, suntikan, implan atau IUD adalah berbeza dan ianya
untuk jangka masa yang pendek.

"Sebagai contoh, ada wanita yang mengalami masalah berat badan selepas mengambil pil perancang tetapi mampu mengawal keadaan tersebut dengan senaman dan diet yang sihat," katanya.

Tambahnya, ada wanita mengalami pendarahan antara kitaran haid. Tidak kurang juga mengalami tanda lebih serius seperti sakit dada, sakit kepala dan perlu berjumpa doktor supaya pemantauan dapat dilakukan bagi mengelak keadaan lebih buruk.

"Wanita yang menggunakan IUD pula ada yang mengalami kitaran haid yang banyak dan waktu yang panjang berbanding sebelum penggunaan kaedah pencegahan kehamilan.

"Berbincanglah dengan doktor untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku sebelum membuat pilihan mengenai kaedah perancangan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:01 AM