BERBINCANG dengan pasangan untuk menjalani rawatan kesuburan penting untuk memastikan kedua-dua pihak bersedia.
BERBINCANG dengan pasangan untuk menjalani rawatan kesuburan penting untuk memastikan kedua-dua pihak bersedia.
Hafiz Ithnin

SEIRING kemajuan teknologi perubatan, kini terdapat beberapa pilihan dalam rawatan kesuburan untuk memperoleh zuriat dan satu daripadanya adalah IVF rangsangan rendah atau Permata IVF.

Pengasas dan Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr Tee Swi Peng berkata, rawatan ini adalah sama seperti kitaran bayi tabung uji atau In Vitro Fertilisation (IVF), tetapi protokol yang digunakan adalah lebih singkat termasuk juga ubat-ubatan yang digunakan amat kurang jika dibandingkan dengan konvensional IVF.

"Dalam ovulasi semula jadi, wanita biasanya menghasilkan satu telur matang setiap kitaran. Ketika proses IVF, sama ada konvensional atau standard, kitaran wanita akan dipantau dan ubat-ubatan merangsang ovari untuk menghasilkan lebih daripada satu telur.

"Telur diambil dari ovari menggunakan jarum, mereka disenyawakan oleh sperma lelaki di luar badan di makmal untuk membuat embrio," katanya.

Jelasnya, embrio kemudian dipindahkan kembali ke rahim wanita untuk proses implantasi dan kehamilan.

"Kadar kejayaan IVF rangsangan rendah secara amnya adalah lebih rendah daripada IVF konvensional, tetapi itu tidak bermakna ia bukan pilihan yang kurang baik untuk pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

"Terdapat kajian yang dilakukan selama enam bulan untuk membuat perbandingan antara rawatan IVF konvensional dan IVF rangsangan rendah," katanya.

Jelasnya, kajian itu membabitkan 564 wanita di bawah umur 39 tahun. Mereka secara rawak ditempatkan sama ada kumpulan IVF rangsangan rendah atau IVF biasa.

Tambahnya, hasil kajian itu mencatatkan 49 peratus daripada kumpulan IVF rangsangan rendah hamil dan akhirnya melahirkan anak. Manakala, 63 peratus daripada kumpulan IVF konvensional hamil dan akhirnya melahirkan anak.

"Tiada kumpulan IVF rangsangan rendah yang mengalami sindrom hipersimulasi ovari (OHSS). Sebanyak 5.7 peratus daripada kumpulan IVF konvensional yang mengalami OHSS," katanya.

BAGI pasangan yang berkahwin dan sukar mendapatkan zuriat perlu menjalani rawatan kesuburan.
BAGI pasangan yang berkahwin dan sukar mendapatkan zuriat perlu menjalani rawatan kesuburan.

Katanya, kelebihan tambahan Permata IVF adalah kurang kesan sampingan dan kurang rasa tidak selesa dari ubat kesuburan.

"Secara khusus ini mengurangkan kesakitan yang dialami di bahagian suntikan oleh pesakit dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan gejala seperti ketidakselesaan, perut kembung dan perubahan mood.

"Kebarangkalian komplikasi sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) menurun. OHSS adalah keadaan di mana tubuh bertindak balas secara berlebihan terhadap hormon yang merangsang pengeluaran telur," katanya.

Katanya, perkara itu menyebabkan ovari membengkak dan kemungkinan gejala seperti sakit perut, loya dan muntah. Ia juga pilihan kepada responden kurang rangsangan IVF (poor IVF respondent)

"Kaedah ini memberi pilihan kepada kumpulan pasangan wanita yang tidak memberikan tindak balas yang baik terhadap protokol suntikan dalam IVF konvensional," katanya.

Jelasnya, suntikan yang diperlukan adalah kurang berbanding konvensional IVF dan begitu juga dengan pengambilan darah serta pemantauan yang diperlukan daripada doktor.

"Secara tidak langsung, ia mengurangkan jumlah lawatan konsultasi doktor dan lebih menjimatkan dari segi masa dan kos," katanya.

Nasihatnya, pasangan yang bersedia untuk mempunyai zuriat dinasihatkan jangan bertangguh untuk mendapatkan rawatan bersesuaian kerana setiap waktu yang berlalu tidak dapat diubah kembali kerana peningkatan umur memberi impak terhadap keberkesanan rawatan yang diberikan.

Proses rawatan Permata IVF

Setiap kitaran PermataIVF melalui proses sama seperti kitaran IVF konvensional. Proses rawatan Permata IVF adalah seperti berikut:

1) Proses merangsangkan ovulasi akan dijalankan. Penggunaan ubat-ubatan dengan dos rendah untuk proses ovulasi.

2) Ketika fasa ovulasi, pemantauan terhadap pesakit menerusi imbasan diperlukan untuk mengesahkan bahawa folikel dalam ovari sudah matang dan menjadi telur. Pesakit yang memilih prosedur Permata IVF ini masih perlu melakukan suntikan, tetapi kuantiti yang kurang dan dos lebih rendah daripada pesakit yang menjalani IVF biasa. Suntikan hormon perangsang folikel (FSH) dan (hCG) diberikan sebelum prosedur pengambilan telur.

3) Selepas folikel menjadi matang, bermakna prosedur pemgambilan telur dilakukan dalam bilik bedah dengan kehadiran pakar kesuburan, bius, embriologis dan jururawat terlatih.

4) Telur yang diambil akan disenyawakan oleh sperma pasangan yang kemudian menjadi embrio dalam makmal yang dipantau embriologi.

5) Embrio kemudian dipindahkan ke rahim untuk proses penempelan dan selepas dua minggu, ujian kehamilan dilakukan untuk mengetahui sama ada proses Mini IVF terbabit sudah berjaya dan wanita berkenaan disahkan hamil.

Wanita yang sesuai untuk rawatan Permata IVF:

1) Usia di bawah umur 35 tahun

2) Mengalami masalah tubal atau tiub tersumbat

3) Pasangan yang tidak mengalami isu kesuburan pihak suami

4) Individu yang berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi akibat suntikan yang digunakan ketika IVF konvensional

5) Individu dengan rizab ovari yang rendah dan kurang memberikan tindak balas terhadap suntikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:25 AM