KITARAN haid yang baik memberi kesan kepada kesuburan.
KITARAN haid yang baik memberi kesan kepada kesuburan.
KITARAN haid penting bagi wanita menandakan tahap kesihatan terutama babit kesuburan.
KITARAN haid penting bagi wanita menandakan tahap kesihatan terutama babit kesuburan.
Hafiz Ithnin


KITARAN haid menjadi perkara yang penting bagi wanita kerana ia menandakan salah satu tahap kesihatan terutama membabitkan kesuburan.

Apatah lagi, jika seorang wanita itu sudah mendirikan rumah tangga, maka tahap kesuburan amat penting untuk mendapatkan cahaya mata.

Doktor Sakit Puan Metro IVF, Dr Ramasamy Ramanathan berkata, kitaran haid adalah kitaran bulanan berkala yang membabitkan ovulasi iaitu proses melepaskan telur daripada kantung telur dan haid.

"Jika tiada persenyawaan antara sperma dan telur paras hormon estrogen serta progesteron dalam badan mula menurun.

"Apabila paras kedua-dua hormon ini jatuh pada tahap tertentu, badan bertindak balas menyebabkan haid berlaku," katanya.

Jelasnya, kitaran haid yang normal bermula dari hari pertama haid antara dua hingga tujuh hari sehingga permulaan kitaran haid seterusnya dan tempoh ini biasanya berlangsung antara 21 hingga 40 hari.

Terdapat beberapa jenis kategori mengenai kitaran haid wanita yang diklasifikasikan seperti berikut:

BERJUMPA doktor untuk mendapatkan rawatan jika mengalami masalah kitaran haid.
BERJUMPA doktor untuk mendapatkan rawatan jika mengalami masalah kitaran haid.

1. Amenorea

Ditakrifkan sebagai ketiadaan satu kitaran haid atau lebih dan terbahagi kepada dua kategori iaitu amenorea primer serta sekunder.

i) Amenorea kategori pertama yang merujuk kepada ketiadaan haid pada seseorang yang belum mengalami haid apabila mencapai usia 15 tahun. Penyebab amenorea primer kebiasaannya berkaitan dengan tahap hormon.

ii) Amenorea sekunder pula adalah kategori kedua merujuk kepada ketiadaan tiga atau lebih haid berturut-turut oleh seseorang yang pernah mengalami haid pada masa lalu. Kehamilan adalah punca utama dan isu hormon dan masalah di ovari turut dikaitkan dengan amenorea.

2. Oligomenorrhea

Bagi mereka yang mengalami kelewatan haid pada tempoh 45 hari terutama remaja.

Antara punca kelewatan haid:

1) Ketidakseimbangan hormon

2) Emosi terganggu

3) Tidur yang tidak cukup

4) Senaman yang keterlaluan

5) Perubahan kenaikan berat badan atau pengurangan berat badan yang mendadak

6) Masalah di ovari

3. Menoragia

Menoragia adalah jenis pendarahan rahim abnormal yang paling kerap dialami sesetengah wanita dan mempunyai ciri-ciri seperti pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Dalam sesetengah kes, pendarahan mungkin sangat teruk sehingga aktiviti harian terganggu.

- Sakit ketika kitaran haid

1) Sakit sebelum haid, darah mengalir ke arah pelvis, bengkak, mungkin perut sedikit kembung dan tidak selesa.

2) Sakit ketika haid, ia bukan petanda yang baik. Darah mungkin tidak keluar sepenuhnya dan sesetengah wanita mengalami aliran keluar ke belakang dan tersekat dalam ovari atau berhampiran kawasan tiub atau rahim (ia dipanggil sebagai endometriosis).

Wanita berkemungkinan mengalami kesukaran untuk hamil sekiranya ini berlaku dan perlu mendapatkan khidmat rundingan dengan doktor secepat mungkin.

3) Jika mengalami sedikit ketidakselesaan dan sakit yang sangat ringan sama ada di bahagian kiri atau kanan abdomen serta tempoh rasa sakit itu antara setengah hari atau lebih, kemudian rasa sakit itu hilang, berkemungkinan wanita berkenaan sedang mengalami ovulasi dan adalah masa yang sesuai untuk pasangan bersama.

WANITA terutama yang sudah berkahwin perlu memberi fokus kepada kitaran haid.
WANITA terutama yang sudah berkahwin perlu memberi fokus kepada kitaran haid.

Katanya Dr Ramasamy, tidak semua kesakitan dalam kitaran haid adalah baik atau buruk. Jika keadaan menjadi lebih teruk, dinasihatkan untuk berjumpa pakar bagi rawatan lanjutan.

"Jika kitaran haid adalah teratur, kiraan hari ke 12 hingga 15 adalah waktu sesuai untuk mengadakan hubungan seks kerana ovulasi kebiasaannya berlaku pada hari ke 14 dan sperma boleh bertahan selama tiga hari selepas pasangan bersama.

"Sebagai contoh, jika hubungan kelamin berlaku pada hari ke 12, sperma akan berada dalam rahim selama tiga hari. Telur pula bertahan selama satu hari dalam pada hari ke 15," katanya.

Katanya, kit ramalan ovulasi yang mengukur tahap hormon luteinizing (LH) dalam air kencing wanita. Peningkatan LH memberi isyarat kepada ovari untuk mengeluarkan telur dan dijangka ovulasi berlaku dalam masa 12 hingga 36 jam seterusnya.

"Ujian kesuburan mukus, pada masa ovulasi berlaku wanita akan mengeluarkan lebih banyak lendir yang kelihatan sangat jelas dan licin kelihatan seperti putih telur. Ini bermakna ovulasi sedang berlaku sesuai untuk pasangan bersama," katanya.

Jelasnya, jika sudah mencuba selama setahun dan belum hamil terdapat kaedah bantuan teknologi reproduktif yang boleh membantu untuk mendapatkan zuriat.

PEMAKANAN penting untuk kesuburan.
PEMAKANAN penting untuk kesuburan.

Antaranya adalah:

1) Ubat-ubatan yang dimakan secara oral dan melalui pengambilan ubat-ubatan ini 50 peratus daripada wanita akan mengalami ovulasi dan boleh hamil

2) Permanian berhadas (IUI)

Kaedah permanian berhadas adalah mengambil sperma suami dan memindahkan menggunakan kateter kecil untuk dimasukkan dalam rahim.

3) Persenyawaan in vitro (IVF)

Doktor akan mengambil telur sudah yang dirangsang dan disenyawakan dalam makmal selama satu hingga tiga hari dan memilih embrio terbaik untuk dipindahkan dalam rahim dan mempunyai peratus kejayaan yang lebih tinggi dari permanian beradas.

Katanya, kitaran haid adalah sebahagian daripada proses normal dialami wanita. Wanita perlu memahami mengenai kitaran haid mereka dengan pengambilan makanan yang mempunyai nutrien penting untuk tubuh.

"Sekiranya wanita yang bercadang untuk hamil, tabiat pemakanan yang disarankan antaranya putih telur yang mengandungi protein tinggi ikan, buah delima, kiwi, avokado, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Sebaiknya elakkan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi, gula dan makanan berminyak atau bergoreng," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:10 AM