MASALAH dihadapi wanita mengandung akibat perubahan paras hormon
MASALAH dihadapi wanita mengandung akibat perubahan paras hormon
Aida Adilah Mat


KESIHATAN gigi yang baik memang memberi pengaruh besar kepada penampilan dan senyuman seseorang, apatah lagi bagi wanita.

Solekan tebal tetap tidak dapat menutup kejanggalan yang disebabkan masalah gigi termasuklah susunan gigi tidak teratur apatah lagi jika ada gigi yang ‘hilang’.

Sesetengah wanita berkata mereka mengalami masalah gigi ketika hamil. Ada wanita mendapati gusi mereka jadi lebih merah dan berdarah apabila memberus gigi. Ada pula yang alami masalah gusi bengkak.

Bahkan ada yang mengakui mengalami masalah gigi goyang setiap kali hamil. Semua perubahan ini dipanggil gingivitis kehamilan.

Keadaannya sama dengan gingivitis biasa, tetapi puncanya berbeza. Dalam kes wanita hamil, masalah ini disebabkan perubahan paras hormon.

Ketika hamil paras hormon progesteron meningkat lebih tinggi berbanding biasa yang boleh merangsang pertumbuhan bakteria penyebab gingivitis.

Pensyarah Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Cheah Chia Wei berkata, keadaan sama juga berlaku apabila haid yang turut membabitkan perubahan hormon estrogen dan progesteron.

Semasa ovulasi dan beberapa hari sebelum kedatangan haid, paras hormon progesteron dalam badan wanita akan meningkat.

Hormon ini memainkan peranan untuk perkembangan saluran darah. Akibatnya, masalah gusi berdarah lebih kerap berlaku dan menjadi ketara.

PENJAGAAN GIGI UNTUK WANITA HAMIL

Masalah ini akan berterusan terutama bagi wanita yang mengalami mabuk hamil yang teruk. Mereka boleh berasa loya terhadap bau dan rasa yang kuat.

Ada juga wanita hamil yang berasa loya setiap kali membabitkan wanita hamil kerana mereka sering kali mudah berasa loya terhadap bau atau rasa yang kuat.

Ada juga dalam kalangan wanita mengandung sukar untuk memberus gigi apabila berus gigi tersentuh dengan lidah. Disebabkan itu mereka tidak dapat mengamalkan penjagaan gigi yang sempurna.

“Wanita hamil boleh menggunakan ubat gigi yang tidak berperisa. Sebenarnya fluorida tidak akan menyebabkan masalah keracunan asalkan anda tidak menelan ubat gigi.

“Kajian menunjukkan wanita yang mempunyai masalah pendarahan gusi akan mengalami pendarahan gusi yang lebih serius dan juga kebengkakan gusi yang ketara semasa hamil.

“Tapi jika tidak dikawal dan penyakit gusi itu berlanjutan, ia akan menjadi penyakit periodontitis di mana tulang sekeliling gigi lesap perlahan-lahan dan gigi akan gugur.

“Keadaan ini juga dipercayai akan menyebabkan pengumpulan unsur-unsur keradangan yang banyak dalam badan sehingga mengakibatkan kontraksi uterus dan seterusnya bayi dilahirkan tidak cukup bulan,” katanya.

PENJAGAAN gigi untuk wanita hamil.
PENJAGAAN gigi untuk wanita hamil.

Justeru itu, wanita hamil perlu mengamalkan penjagaan gigi yang betul iaitu memberus gigi dua kali dengan ubat gigi berfluorida. Gunakan benang flos untuk membersihkan celah gigi.

Selain itu mereka boleh mendapatkan berus gigi dengan kepala kecil, seperti berus gigi elektrik atau “single tufted brush”.

RAWATAN KETIKA HAMIL

Dr Cheah berkata, ramai wanita gusar untuk mendapatkan rawatan pergigian semasa hamil kerana bimbang keselamatan terhadap bayi yang dikandung.

Sebenarnya rawatan ini adalah selamat dan temu janji dengan doktor gigi boleh dibuat sebelum kandungan berusia lima bulan kerana anda mungkin tidak selesa untuk berbaring apabila kandungan menjadi semakin besar.

Bagaimanapun anda perlu memaklumkan kepada doktor gigi mengenai kehamilan supaya ujian imbasan sinar-X bagi melihat masalah gigi tidak dilakukan untuk melindungi bayi dalam kandungan.

“Selain penjagaan gigi harian yang disarankan, wanita perlu berjumpa dengan doktor gigi secara berkala, iaitu setiap enam bulan untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Amalkan pemakanan seimbang dengan banyakkan pengambilan makanan berserat tinggi. Amalan gaya hidup aktif juga akan menjamin kesihatan mulut dan kesihatan badan secara keseluruhan,” katanya.

HORMON PENCEGAH KEHAMILAN

Dr Cheah memaklumkan wanita yang menggunakan pil perancang bagi mencegah kehamilan lebih cenderung untuk mendapat jangkitan selepas gigi dicabut.

Jangkitan ini terjadi kerana hormon melambatkan proses penyembuhan luka pada soket gigi dan akibatnya bakteria mempunyai peluang untuk membiak.

Ini biasanya berlaku dalam dua hingga tiga hari selepas gigi dicabut. Pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk dan bahagian soket gigi akan berbau busuk.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab wanita yang menggunakan pil pencegahan hamil untuk memaklumkan kepada doktor gigi bagi mengelakkan kejadian jangkitan pada soket gigi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:13 AM