NOR HALIZAWATI antara wanita berkecimpung dalam kerja pertukangan kayu didominasi lelaki. FOTO Hairul Anuar & hsan Kayu Warisan Enterprise
NOR HALIZAWATI antara wanita berkecimpung dalam kerja pertukangan kayu didominasi lelaki. FOTO Hairul Anuar & hsan Kayu Warisan Enterprise
Nurul Husna Mahmud


MELIHAT susuk tubuh Pengasas Kayu Warisan Enterprise Nor Halizawati Bujang yang molek, terbit rasa kagum dengan skil dimiliki ibu empat cahaya mata ini.

Tidak hairan apabila wanita ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Kraf Muda 2020 sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) di Kompleks Kraf Jalan Conlay Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bayangkan karakternya yang sopan selain suara yang lembut, siapa sangka wanita berusia 35 tahun ini mampu mengendalikan paku dan pahat seperti mana tukang kayu tradisional lain.

Kata Nor Halizawati, lebih mencabar pembabitannya dalam bidang berkenaan bermula hanya selepas berkahwin. Sedangkan wanita lain pada ketika ini lebih senang bersantai menguruskan anak dan keluarga.

“Memang saya bermula dengan perjalanan yang mencabar iaitu pembabitan dalam kerja kayu ini hanya selepas berkahwin. Ketika itu anak masih kecil.

“Mujur untuk langkah jauh terus ke arah komersial, saya bermula atas dasar minat. Saya bertukang kerana minat dan menghargai kecantikan kayu yang banyak terdapat di sekitar kediaman ketika itu.

“Waktu itu suami, Azah@Azahari Abd Jamal pun sangat suka bertukang. Boleh dikatakan kami belajar antara satu sama lain termasuk melayari Youtube selain melihat contoh hasil kerja tangan orang lain.

“Berbeza sedikit perjalanan saya dalam kerja bertukang ini apabila kami mengutip kayu terbuang atau hanyut di sungai untuk dijadikan perabot seperti meja dan kerusi makan sendiri.

KETIKA kunjungan pelanggan ke galeri. FOTO Hairul Anuar & Ihsan Kayu Warisan Enterprise
KETIKA kunjungan pelanggan ke galeri. FOTO Hairul Anuar & Ihsan Kayu Warisan Enterprise

“Seingat saya, rasanya pada 2012, saya hasilkan set meja santai. Sebenarnya ia untuk mengasah skil pertukangan dan tidak sangka ada yang berminat membeli perabot pertama yang saya hasilkan.

“Lebih bermakna hasil kerja sendiri memberi pulangan lumayan yang mana kenalan itu membayar untuk kerja dan kemahiran. Pada mereka, ia satu keistimewaan apabila tiada orang lain akan memiliki meja seumpama itu kerana dihasilkan sendiri menerusi kerja tangan.

“Bertekad dari itu saya mula mengumpul pelbagai jenis kayu yang terdapat dalam tanah sendiri dengan bantuan suami. Maklumlah jarak dengan kebun dekat, sejak itu saya mula kumpul dan simpan sebelum mengupah tenaga mahir bagi tujuan memotong dan menghasilkan rekaan perabot lebih rumit, katanya.

Melihat permintaan terhadap produk kayu menampilkan seni pertukangan tersendiri menyebabkan Nor Halizawati lebih bersemangat melangkah lebih jauh dalam bidang terbabit.

“Alhamdulillah perjalanan saya dipermudahkan, kini apabila suami melihat saya semakin sibuk, dia berkorban termasuk profesyen sebagai juru ukur tanah.

“Permulaan saya sampai tahap ini atas saranan seorang kenalan menyarankan saya mendaftarkan diri di bawah Kraftangan Malaysia sebagai usahawan kraf.

“Jadi daripada tukang kayu amatur saya beralih kepada usahawan. Pada saya, perlu ada skil dan rangkaian hubungan dalam memastikan kelangsungan kayu warisan terus berkembang.

“Selain itu dengan Kraftangan Malaysia juga saya mempelajari baik teknologi mahupun teknik terkini dalam pertukangan kayu yang membolehkan saya pergi lebih jauh selain menghasilkan produk berkualiti,” katanya mengakui bergelut dengan kesibukan memulakan perniagaan dan menguruskan anak-anak yang masih kecil.

Lebih bermakna buat Nor Hazilawati apabila tidak menyangka empayar kayu dibina dengan restu suami itu turut menjadi rezeki kepada anak muda kampungnya.

“Satu kepuasan pada saya dalam menggerakkan syarikat ini bukan hanya produk berkualiti, malah dapat melahirkan tenaga mahir yang bergerak bersama sepanjang kami beroperasi.

“Saya anggarkan lebih 100 anak muda pernah kami latih dan bentuk untuk mereka pelajari mengenai pertukangan kayu. Jika sebelum ini, mereka memikirkan tukang kayu sebagai kerja rencam, mungkin dengan pendekatan atau cara kami ketengahkan ini membuktikan ia warisan perlu diwarisi.

“Malah, sehingga kini saya dan suami memiliki lebih 10 pekerja terdiri daripada anak kampung yang keciciran akademik. Setidak-tidaknya kemahiran ini dapat dimanfaatkan pada masa depan.

“Mereka sudah bekerja dengan kami sejak 16 tahun,” katanya yang berharap kemahiran pertukangan kayu tradisi terutama dapat diwarisi generasi akan datang.

MINAT membuatkan Nor Halizawati tidak kisah membuat kerja kasar. FOTO Hairul Anuar & Ihsan Kayu Warisan Enterprise
MINAT membuatkan Nor Halizawati tidak kisah membuat kerja kasar. FOTO Hairul Anuar & Ihsan Kayu Warisan Enterprise

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:00 AM