TEGAP dan cantik terletak meja kopi dihasilkan Norpadilah supaya sesuai dengan konsep rumah ladang.
TEGAP dan cantik terletak meja kopi dihasilkan Norpadilah supaya sesuai dengan konsep rumah ladang.
Nurul Husna Mahmud


Jika melihat luaran kediaman Norpadilah Afandi, 39, ramai akan menyangka ia hanyalah rumah kampung tipikal separa bersimen dengan dinding kayu beratap genting.

Namun sebaik melangkah masuk, 'mood' berubah 360 darjah seolah-olah berada di ruang asing.

Mana tidaknya warna serba putih 'menyaluti' dinding hinggalah ke perabot menyamai gaya hiasan yang biasa terlihat pada rumah ladang di Eropah.

Lebih mengejutkan lagi, ada sebahagian perabot terdapat dalam kediaman itu dihasilkan sendiri pemiliknya.

Berkongsi kegigihan, Norpadilah menyifatkan memiliki impian besar apabila mahukan konsep kediaman barat itu menjadi latar utama namun mengekalkan sentuhan kemelayuan sesuai dengan kedudukan rumahnya dalam kampung tradisi.

"Imbas kembali perjalanan untuk dapat hasil sekarang (konsep 'farm house'), memang perjalanannya cukup panjang kerana saya tidak ada kos khusus untuk ubah suai sebaliknya menggunakan bajet ekstra hasil lebihan duit perbelanjaan harian.

"Impian besar maklumlah ketika saya mula projek ini sekitar tahun 2017, saya suka belek 'pinterest' dan memasang angan-angan inginkan dekorasi ala rumah ladang orang Inggeris.

"Saya mahu elemen ringkas atau sederhana ada pada karakter motif itu selain ciri-ciri 'rustic' yang membuatkan ruang nampak sentimental selain penuh dengan nostalgia," katanya.

Kata Norpadilah, dia mulakan dengan dapur kerana ruang berkenaan adalah kegemarannya yamg banyak menghabiskan masa bersama ibu tercinta di situ.

RUANG dapur menjadi ruang kegemaran Norpadilah.
RUANG dapur menjadi ruang kegemaran Norpadilah.

PENDIANG api direka Norpadilah untuk kelihatan seperti di negara barat.
PENDIANG api direka Norpadilah untuk kelihatan seperti di negara barat.

"Kalau bercerita pasal rumah pusaka, saya dibesarkan dalam keluarga besar iaitu 10 adik-beradik dan saya paling bongsu.

"Sejak dulu saya tinggal bersama ibu sehinggalah arwah meninggal pada 2018 dan pada saya dapur adalah ruang paling banyak bersama.

"Di awal projek, saya buang dulu tikar getah lama dan kekalkan lantai simen. Saya sental guna sabun 'cap Buruh' dan lama-kelamaan permukaan jadi berkilat tetapi tidak pula licin.

"Dalam masa sama saya turut membeli cat dan mulakan kerja-kerja cat dinding serta semua perabot kayu di dapur," katanya.

Tambahnya lagi, ketika itu dia mengisi kelapangan masa kerana berpantang anak bongsu. Selain mula menghasilkan perabot kayu kerana mahu menjimatkan kos.

"Lagi satu, ingin saya kongsikan dengan pembaca ialah saya tidak membeli perabot baharu bagi 'make over' rumah pusaka ini sebaliknya menggunakan barangan terbuang termasuk kayu terpakai.

"Bayangkan masa saya mula-mula buat kerja bertukang minta suami carikan kayu palet kayu tetapi jenis keras.

"Perit tidak terkata kerana menggunakan gergaji manual dan ketika itu baru lepas pantang. Tetapi berbaloi apabila dapat tengok hasilnya iaitu meja makan dan meja kopi terletak cantik di ruang makan serta ruang tamu," katanya.

Menarik bukan sahaja latar putih tetapi aksesori dan perincian ruang termasuk susun atur setiap barang membuatkan kediaman berkenaan begitu menarik perhatian.

BERBAKAT dan kreatif dalam kerja pertukangan.
BERBAKAT dan kreatif dalam kerja pertukangan.

MEJA makan dihasilkan sendiri.
MEJA makan dihasilkan sendiri.

Paling penulis tertarik ialah kemasan dinding di ruang makan seakan pendiang api.

"Boleh saya katakan sekarang ini, projek 'make over' kediaman ini hampir 70 peratus siap kerana ada beberapa lagi projek iaitu perpustakaan mini dan ruang tamu masih belum sempurna.

"Perancangan lain ialah ingin tukar cat di luar kediaman sama ada warna putih atau kelabu. Ia untuk dipadankan dengan ruang dalam rumah yang serba putih," katanya.

Dari segi pemilihan barangan kata Norfadilah, bagi golongan sederhana sepertinya lakukan sendiri (DIY) lebih sesuai.

"Sofa di ruang tamu umpamanya, kami ambil yang terpakai dan saya cari kusyen dan buat sarung sendiri.

"Kalau ada pun pembelian barang dekorasi hanyalah karpet dari kedai barangan terpakai. Saya beli pun kerana ciri-cirinya yang 'lusuh' supaya tampak seperti mana konsep rumah ladang," katanya.

Kepuasan pada Norfadilah apabila kediaman keluarga itu turut menjadi lokasi kegemaran untuk bersantai.

"Memang apabila ahli keluarga terutama adik-beradik, anak buah dan cucu-cicit pulang, mereka tidak lepaskan peluang bergambar di setiap ruang.

"Pada saya itu satu kepuasan, malah arwah ibu saya pernah cakap mahu hias rumah kampung ini 'cantik-cantik' supaya keluarga yang sesekali pulang rasa selesa," katanya yang turut menjual barangan kraf dan dekorasi rumah menerusi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:00 AM