PELBAGAI perkakas rumah dihasilkan RWC untuk pasaran tempatan.
PELBAGAI perkakas rumah dihasilkan RWC untuk pasaran tempatan.
ANTARA ukiran yang memikat.
ANTARA ukiran yang memikat.
DULANG makanan tampak  berharga dengan ukiran  tradisional bermotif bunga tanjung.
DULANG makanan tampak berharga dengan ukiran tradisional bermotif bunga tanjung.
RUWAIDA bersama suami, Suhaimi menubuhkan R&S Kraf Enterprise bagi memenuhi permintaan pembuatan perkakas rumah berukir.
RUWAIDA bersama suami, Suhaimi menubuhkan R&S Kraf Enterprise bagi memenuhi permintaan pembuatan perkakas rumah berukir.
Zaitie Satibi


Rekaan perabot kayu moden dengan gaya kontemporari mahupun industri memang diakui menarik dan cantik dipandang.

Namun, di sebalik keghairahan menggunakan perabot jenis berkenaan yang semakin popular di Malaysia, perabot kayu ukiran tangan hasil seni tradisi Melayu seakan-akan dilupakan.

Harga perabot kraf tangan yang agak mahal sehingga mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jenis kayu dan produk menjadi faktor utama ia kurang mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda.

Malah, ada yang beranggapan perabot kayu seni pertukangan tangan yang berukir indah dengan pelbagai motif berinspirasikan flora dan fauna hanya sesuai untuk cita rasa orang lama.

Selain itu, kebanjiran perabot pasang sendiri (DIY) yang mendominasi pasaran perkakas rumah dan pejabat turut menyumbang kepada kemerosotan permintaan terhadap perabot kayu ukiran tangan.

Bagi pengukir kayu dari Besut, Terengganu, Ruwaida Baharudin, 31, beliau tetap yakin perabot kayu berukir masih mempunyai peminat tersendiri, malah pasarannya ketika ini juga boleh setanding dengan perabot moden jika diketengahkan mengikut trend semasa.

Ruwaida berkata, bagi membolehkan seni ukiran kayu dikekalkan sebagai tradisi bangsa Melayu, beliau mengambil langkah mengembalikan komponen ukiran kayu Melayu lama dalam rekaan perabot moden termasuk aksesori rumah keluaran syarikatnya, R&S Kraf Enterprise.

“Sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang kraf kayu ini, saya sedar permintaan terhadap perabot dan aksesori rumah dengan ukiran kayu Melayu lama kurang menggalakkan dan hanya meningkat pada musim tertentu.

“Ukir kayu adalah seni pertukangan tangan yang menjadi tradisi dalam masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi. Satu kerugian besar jika pening­galan ini tidak dijaga dan diwarisi golongan muda.

“Oleh itu, saya menambah elemen ukiran dalam pembuatan perabot dan aksesori kayu walaupun hanya satu motif sebagai usaha mempertahankan warisan seni ini,” katanya.

Beliau ditemui dalam program Media Turun Padang anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini, sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2018 di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Mac hingga 1 April ini.

Ruwaida yang juga pelajar jurusan seni kraf kayu Institut Kraf Negara (IKN) mendakwa kreativitinya dalam menyelitkan ilham hiasan tradisional pada pembuatan perabot dan aksesori kayu moden menimbulkan minat golongan muda terhadap produk kayu berukir.

Malah, beliau banyak menggunakan kayu jelutong kerana kosnya yang lebih murah berbanding kayu keras lain seperti jati, cengal dan merbau supaya hasil akhirnya mampu dinikmati semua golongan yang berhasrat memiliki perkakas rumah berukir.

“Saya juga menggunakan papan berwarna mengikut permintaan pelanggan supaya dapat mempelbagaikan variasi rekaan produk kayu kepada gaya kontemporari supaya tidak hanya tertumpu kepada rekaan klasik dan asli.

“Langkah ini sekurang-kurangnya dapat menunjukkan satu contoh reka bentuk tradisi dan perkembangan seni budaya Melayu yang sudah sebati dengan kehidupan masyarakat kita kepada golongan muda.

“Biarpun demikian, saya masih membuat ukiran pada kayu mahal berdasarkan permintaan, namun kerja kraf ini mengambil masa panjang untuk disiapkan kerana biasanya tempahan sedemikian untuk perkakas rumah lebih besar,” katanya.

Ruwaida tidak berseorangan dalam usaha memartabatkan seni ukiran kayu apabila beliau dibantu suami, Suhaimi Mohd Ramli, 33, yang turut memiliki kemahiran sama dalam bidang berkenaan.

Antara produk kayu berukir yang sering mendapat tempahan seperti rak perhiasan dinding, peti penggantung kunci, dulang makanan, kotak ubat, kotak cenderahati dan bingkai gambar.

Walaupun produk kayu dihasilkan Ruwaida adalah perkakas rumah yang lazim dan mudah didapati, tetapi karya beliau memberi satu keunikan kerana masih mengekalkan tradisi bangsa Melayu. Ukiran yang dihasilkan juga teliti dan tersendiri, malah beliau turut mempunyai pelanggan tetap yang meminati seni ukiran.

Ruwaida juga menggabungkan beberapa motif pada satu produk supaya banyak jenis ukiran lama ini dinikmati. Ukiran berunsurkan tradisional yang digunakan lebih menjurus kepada bunga indah seperti bunga ketumbit, cempaka, tanjung dan bakawali, manakala unsur kontemporari seperti bunga raya, rama-rama dan burung.

Sementara itu, seorang lagi pengukir dan tukang kayu dari negeri penyu, Ramli Husin, 61, mengasaskan Ramli Wood Craft (RWC) pada 1988 kerana kecenderungan beliau dalam seni ukiran kayu.

Uniknya, bakat yang ada pada beliau adalah warisan turun-temurun daripada datuk kepada bapanya sejak 100 tahun lalu. Kini, seorang anak lelaki Ramli turut mengikut jejak langkahnya dalam bidang ukiran dan pembuatan produk kayu.

Antara produk dihasilkan oleh RWC seperti bingkai pintu, perabot tradisional Melayu, kraf kayu dan permainan tradisional. Ramli menggunakan kayu berkualiti seperti cengal, nyatoh, tengkawang, meranti, tembesu dan damar hitam dalam pembuatannya.

“Kami juga banyak terbabit dalam pameran anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dan menjadi peserta program Jelajah Kraf Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI), selain karnival usahawan di seluruh Malaysia.

“Produk RWC juga pernah menembusi pasaran luar negara ke Syria menerusi produk tabir kayu berukir.

“Susulan itu, matlamat RWC ingin melangkah ke pasaran antarabangsa bagi menimbulkan minat pengguna terhadap produk buatan tradisional Melayu supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya yang belajar mengukir dan bertukang melalui pemerhatian sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:46 PM