DAPUR impian yang direalisasikan oleh suami, Nur Akhira menggunakan kayu pine.
DAPUR impian yang direalisasikan oleh suami, Nur Akhira menggunakan kayu pine.
Nurul Husna Mahmud


KEBIASAAN, pemilik kediaman baru akan berasa teruja menghias kediaman mengikut konsep impian dengan perabot dan aksesori hiasan dibeli di pasaran.

Berbeza bagi Usahawan Durian Crepe Nur Akhira Abd Latif, 32, ini apabila segenap ruang dalam kediaman baru dihuni bersama keluarganya di Kuantan, Pahang dilengkapi dengan perabot dihasilkan sendiri suami tercinta, Mohd Shahrizal Mohd Yusof, 36.

Meneliti hasil kerja pasangan Nur Akhira di kediaman berkeluasan lebih 1,000 meter persegi itu, suasana tidak ubah seperti sebuah galeri apabila menampilkan perabot menggunakan pelbagai jenis kayu.

Menurut Nur Akhira, projek pertama dimulakan ketika mula-mula masuk kediaman semi- D setingkat itu, ruang dapur menjadi keutamaan menerusi kabinet dapur meliputi segenap ruang sesuai dengan konsep idaman iaitu kontemporari kayu seperti sering dilihat pada konsep kediaman rumah gaya Inggeris atau Skandinavia.

"Suami sudah memulakan hobi bertukang sejak 2015 bermula dengan perabot kecil seperti meja makan, rak kasut atau meja kopi. Dia pernah juga menjual hasil kerjanya tetapi hanya dalam ruang lingkup keluarga dan kenalan terdekat.

"Apabila kami berpindah ke rumah sendiri pada 2017, saya buat permintaan kepada suami untuk dia hasilkan kabinet dapur lengkap dengan ruang penyimpanan semua peralatan elektrik sehinggalah kepada barangan dapur.

"Dia sanggup cuti selama sebulan bagi menyiapkan projek kabinet dapur. Menarik apabila dihasilkan sendiri atau 'customkan' kabinet dapur, semua kemasan dan perincian termasuklah ruang bagi meletakkan tong sampah dihasilkan dalam set kabinet berkenaan," katanya.

Tambah Nur Akhira, meskipun kediaman sendiri itu jenis berlaman, namun ruang dalam begitu terhad terutama dapur yang agak sempit menyebabkan dia memilih konsep dekorasi ruang terbuka.

SEPERTI rekaan dapur di luar negara apabila meja bar berbentuk L menjadi penanda sempadan antara dapur dengan ruang tamu.
SEPERTI rekaan dapur di luar negara apabila meja bar berbentuk L menjadi penanda sempadan antara dapur dengan ruang tamu.

MEJA kopi dihasilkan pasangan Nur Akhira.
MEJA kopi dihasilkan pasangan Nur Akhira.

"Sebaik pindah, ruang terutama dapur tidak begitu memenuhi keperluan saya yang berniaga dan memerlukan ruang bagi kerja memasak. Jadi, saya letakkan dalam senarai rekaan kabinet dihasilkan suami supaya ada ruang penyimpanan yang mencukupi bagi meletakkan semua barang berniaga termasuklah perkakas dapur.

"Lebih penting ruang penyimpanan itu bertutup supaya saya dapat uruskan dapur dengan baik meskipun ketika sibuk dengan aktiviti perniagaan produk makanan dan dalam masa sama menyediakan sajian untuk keluarga," katanya.

Kabinet dapur itu turut mempunyai perincian tempat penyimpanan sos, herba dan rempah. Serentak dengan projek kabinet, suaminya sempat menyiapkan kabinet televisyen untuk ruang tamu.

Tambah Nur Akhira lagi, biarpun suaminya itu melakukan kerja pertukangan perabot sebagai hobi, kekemasan dan mutu dalam pembuatan kerja menjadi keutamaan apatah lagi digunakan dalam kediaman sendiri.

"Suami tidak pernah mengikuti sebarang kelas formal dan dia bertukang bagi mengisi masa lapang. Namun pengetahuan mengenai kayu cukup luas kerana bekerja dengan Jabatan Perhutanan. Jadi dia tidak sukar hendak tahu kesesuaian kayu bagi pembuatan perabot tertentu.

"Ada perabot menggunakan kayu pain dan sebahagian menggunakan kayu tempatan seperti keruing. Dia menghasilkan semua perabot ini dalam salah satu bilik dalam rumah ini yang sudah diubah menjadi bengkel pertukangan.

"Buat saya percaya dan kagum dengan hasil kerja suami ialah dia ini seorang yang sangat teliti dan cerewet. Kalau tidak capai seperti dia inginkan, dia sanggup buka satu persatu semula perabot sehingga puas hati. Itu yang buat kami serasi dalam citarasa perabot dalam ruang dalam rumah ini," katanya.

Menyentuh kepada konsep keseluruhan perabot atau dekorasi, ibu dua cahaya mata lelaki itu lebih suka merujuk aplikasi atau laman sesawang yang menampilkan tatarias ruang kediaman dari luar negara.

"Saya ini minat dengan gaya orang Barat menghias kediaman mereka. Biasanya mereka gemar ruang terbuka tetapi kemas dan ringkas sesuai dengan cita rasa saya yang sukakan sesuatu nampak tersusun selain tidak serabut.

PERINCIAN cukup teliti.
PERINCIAN cukup teliti.

NUR Akhira dan suami mempunyai citarasa sama iaitu minat terhadap perabot berasaskan kayu dengan rekaan moden dan minimalis.
NUR Akhira dan suami mempunyai citarasa sama iaitu minat terhadap perabot berasaskan kayu dengan rekaan moden dan minimalis.

"Dengan lihat penggunaan perabot mereka, saya akan usulkan jenis perabot diinginkan dan anggaran saiz. Suami pula akan sesuaikan rekaan dan saiz mengikut kesesuaian ruang kerana dia lebih tahu estetika serta praktikaliti setiap perabot apabila diletakkan pada ruang berkenaan.

"Sebagai contoh katil bilik tidur kelamin dihasilkan suami lebih besar berbading saiz katil king di pasaran kerana bilik tidur utama luas. Begitu juga dengan bangku atau sofa di ruang tamu.

"Saiz perabot untuk tetamu bersantai itu lebih besar kerana saya mahu fungsinya boleh menjadi tempat baring andai kami menerima keluarga yang memerlukan tempat tidur tambahan," katanya.

Berkongsi kelebihan menghasilkan perabot sendiri berbanding membeli atau menempah perabot, kata Nur Akhira, ia jauh lebih jimat dua hingga tiga kali ganda selain hasil atau kualiti yang diinginkan.

"Berdasarkan pengalaman sejak kami masuk sehinggalah sekarang, banyak penjimatan dan saya boleh kata dua hingga tiga kali ganda kalau beli perabot dengan kualiti atau perincian yang sama.

"Secara kasar bajet yang kami sudah dikeluarkan untuk buat semua perabot dalam rumah ini dianggarkan sekitar RM7,000 hingga ke RM8,000 membabitkan RM5,000 kos kayu.

"Kalaulah saya dan suami beli perabot, mungkin kos boleh cecah berbelas ribu paling kurang kerana kriteria seperti rekaan dan juga saiz terutama penggunaan material iaitu kayu tempatan bagi perabot tertentu boleh menjadi mahal," katanya.

Selain perabot besar, pasangan Nur Akhira itu turut menghasilkan aksesori seperti kemasan untuk cermin, tempat gantung kunci selain rak kasut yang ditempatkan di luar rumah. Perancangan untuk projek raya pula, dia menantikan set meja bagi ruang laman atau anjung depan rumah bagi tetamu bersantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:00 AM