MOHAMAD Taufek menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rumah Berhias Jalur Gemilang Hari Kemerdekaan 2021 di Taman Marida, Senawang.
MOHAMAD Taufek menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rumah Berhias Jalur Gemilang Hari Kemerdekaan 2021 di Taman Marida, Senawang.
HM Digital

SAMBUTAN Hari Kebangsaan Ke-64 dan Hari Malaysia tahun ini begitu bermakna buat penduduk Taman Marida, Senawang, Negeri Sembilan apabila mereka sepakat menganjurkan Pertandingan Rumah Berhias Jalur Gemilang Hari Kemerdekaan 2021.

Program julung kali itu dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan disertai 60 rumah.

Urus setia pertandingan, Rina Emy Ibrahim berkata, pertandingan itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam norma baharu.

Katanya, selepas lebih setahun pergerakan terbatas dan terpaksa berkurung di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya cuba berbuat sesuatu bagi menceriakan penduduk.

"Idea mengadakan pertandingan ini tercetus selepas tahun lalu tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti sempena sambutan Hari Kebangsaan.

"Malah, sudah lama penduduk tidak dapat bergerak aktif dalam aktiviti membabitkan kepentingan bersama kerana PKP.

"Melalui pertandingan ini yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP), ia dapat menceriakan penduduk selain membangkitkan semangat mereka terhadap kecintaan kepada negara," katanya.

Menurut Rina, pihaknya tidak menyangka sambutan baik diterima daripada penduduk dan mereka diberikan masa dua minggu untuk menggarap kreativiti tersendiri bagi menghias rumah dengan Jalur Gemilang.

Katanya, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak dalam penganjuran pertandingan ini termasuk Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Umno Bahagian Rembau, Balai Polis Senawang, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan.

Sementara itu, bekas kakitangan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas, Nor Haliza Yaakob, 57, dinobatkan sebagai pemenang pertama pertandingan.

Dia menggunakan bahan terbuang bagi membina dekorasi Jalur Gemilang di rumahnya.

"Saya menggunakan beberapa bahan terbuang seperti kotak kertas coklat, straw, bekas bahan cenderahati, akuarium dan buluh bagi membina dekorasi.

"Malah, saya hanya membelanjakan sekitar RM100 untuk membeli Jalur Gemilang pelbagai saiz bagi dipasang di ruang beranda dan luar rumah," katanya.

Sebagai pemenang pertama, beliau menerima hadiah wang tunai RM500, hamper dan sijil manakala pemenang kedua ketiga masing-masing menerima RM300 dan RM200 beserta sijil.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Adun Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Turut hadir, Pegawai JPNIN Negeri Sembilan, S Maha dan Pengerusi KRT Taman Marida, Mohd Rafi Ismail.

Pada majlis sama, sebanyak 30 keluarga di taman berkenaan yang terkesan akibat Covid-19 menerima bantuan makanan asas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 6:31 AM