SUKRI (tengah) bersama penduduk kampung di Program Kibar Jalur Gemilang.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SUKRI (tengah) bersama penduduk kampung di Program Kibar Jalur Gemilang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


DUA ratus penduduk di tiga kampung di daerah Tumpat terbabit dalam Program Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-60.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pekan Hilir, Abdul Razak Sidik berkata, program tahunan anjuran KRT itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya, sambutan kali ini berbeza daripada tahun sebelumnya apabila pihaknya turut mengagihkan bendera ke setiap rumah.

"Pihak kami melakukan persiapan selama dua minggu termasuk mencari Jalur Gemilang untuk diagihkan dan mendapat kerjasama penduduk dari kampung Pasir Pekan Hilir, Paloh dan Padang Pohon Tanjung.

"Untuk hari ini, kita adakan aktiviti berbasikal, konvoi motosikal dan larian kibar Jalur Gemilang sejauh tiga kilometer yang diadakan serentak.

"Selain itu, sepanjang larian, sebanyak 100 Jalur Gemilang diagihkan dari rumah ke rumah dalam usaha memastikan setiap rumah mempunyai satu bendera," katanya ketika di temui selepasProgram Kibar Jalur Gemilang, KRT Pasir Pekan Hilir, hari ini.

Program dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri Kelantan, Sukri Omar.

Sementara itu, Sukri berkata, walaupun penyertaan tidak mencecah 1,000 orang namun program yang dianjurkan KRT di kawasan itu berimpak tinggi dan lebih bernilai.

"KRT kawasan ini berusaha mengumpul dana untuk menyediakan Jalur Gemilang dan menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai acara tahunan.

"Kita menggalakkan setiap KRT melaksanakan program seperti ini supaya dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:12 PM