ARVIN dirawat di Hospital Pulau Pinang.
ARVIN dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Oleh Nor Farhani Che Ad


Hasrat guru ini meraikan gelaran Duta Perpaduan Negeri Kedah 2019 yang diterimanya, semalam bersama bekas pelajar tidak kesampaian.

Ini kerana bekas pelajarnya itu baru selesai menjalani pembedahan memotong kaki kiri, awal pagi semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keprihatinan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Petani, Clarakartini A Hamid, 44, terhadap bekas pelajarnya berbangsa India, A Arvin, 21, yang hidup sebatang kara.

Hubungan guru Sains itu dengan Arvin yang bekerja sebagai juruteknik seperti seorang ibu dan anak sehingga bekas pelajarnya itu memanggilnya dengan panggilan mommy.

Kemuliaan hati ibu kepada tiga cahaya mata itu mendapat perhatian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah hingga dipilih menerima anugerah berkenaan yang buat julung kali diperkenalkan.

Sijil penghargaan diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Summugam Rengasamy.

Sementara itu, Clarakartini berkata, Arvin sepatutnya turut dijemput pada majlis berkenaan namun tidak dapat hadir.

Dia baru selesai menjalani pembedahan memotong kaki kirinya selepas terbabit kemalangan langgar lari di Bayan Lepas, Pulau Pinang Jumaat lalu.

“Arvin dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, Jumaat lalu akibat langgar lari kereta.

“Tetapi, Selasa lalu saya baru tahu mengenainya kerana dia merahsiakan daripada saya, tidak mahu saya risau.

“Apa yang membuatkan hati saya pilu dia turut memberitahu bakal kehilangan kaki kirinya,” katanya ketika ditemui pada Penganugerahan Sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019, semalam.

Beliau berkata, biarpun sedih, beliau berjanji akan terus bersama pemuda itu walau apa pun berlaku.

“Laluan kehidupannya akan lebih perit selepas ini, saya tidak akan sesekali meninggalkannya.

“Saya akan pastikan Arvin tidak berasa keseorangan,” katanya.

Dalam pada itu, Clarakartini turut bersyukur dengan penganugerahan itu dan menyifatkan ia sebagai pendorong kepada dirinya dan masyarakat untuk berbakti kepada sesiapa saja tanpa mengira warna kulit.

“Kita perlu didik diri kita untuk membantu sesiapa saja. Walaupun pertolongan yang dianggap kecil,ia boleh memberi makna yang besar pada orang lain,” katanya.

Terdahulu, Summugam turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peringkat Negeri Kedah 2019.

Dalam pertandingan itu, KRT Sungai Tok Pawang, Bedong dinobat sebagai johan dan membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM3,000.

Naib johan dimenangi KRT Taman Permai-Taman Yasmin, Baling manakala tempat ketiga dimenangi oleh KRT Taman Seri Utama, Kubang Pasu.

CLARAKARTINI bersama suami, Khairulnizam Yahya menunjukkan sijil penghargaan yang diterima serta gambar Arvin.
CLARAKARTINI bersama suami, Khairulnizam Yahya menunjukkan sijil penghargaan yang diterima serta gambar Arvin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:30 AM