PENDUDUK Flat Taman Air Tawar Indah menghasilkan replika feri guna barangan terpakai sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.
PENDUDUK Flat Taman Air Tawar Indah menghasilkan replika feri guna barangan terpakai sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Flat Taman Air Tawar Indah, di sini, menghasilkan replika feri menggunakan barangan terpakai dihiasi bendera Malaysia bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

Pengerusi KRT kawasan itu Nor Amran Yahaya berkata, penghasilan replika feri itu tercetus apabila Jabatan Perpaduan Daerah Seberang Perai Utara memilih KRT berkenaan untuk menyertai kempen kibar Jalur Gemilang.

“Setiap tahun, KRT ini sentiasa terpilih mengikuti program mengibar bendera tetapi kali ini kami mahu menampakkan sedikit kelainan sebelum mendapat idea membina replika feri memandangkan pengangkutan air itu menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini.

“Kami mula mengumpul barang-barang dan menggunakan papan serta kayu terpakai sehingga berjaya menyiapkan replika feri ini dalam tempoh dua minggu dengan kerjasama penduduk yang mengambil bahagian,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, penduduk sepakat membina replika feri dan menghias dengan Jalur Gemilang kerana ia menjadi salah satu mercu tanda atau ikon utama di Pulau Pinang yang berjaya meningkatkan industri pelancongan di negeri ini selepas merdeka, bahkan menjadi tarikan sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 11:04 AM