ANTARA yang 'rare' Toyopet Tiara 1962.
ANTARA yang 'rare' Toyopet Tiara 1962.
MEMULAKAN aktiviti pada hari pertama.
MEMULAKAN aktiviti pada hari pertama.
Lizam Ridzuan


ACARA tahunan iaitu Cabaran Kereta Klasik Perak ke-3 diadakan baru-baru ini di Ipoh, Perak yang menerima kehadiran lebih 80 peserta daripada 35 kenderaan klasik pelbagai model.

Ia datang dari serata negara dan Singapura untuk acara yang berkonsep ala 'Treasure Hunt' yang berlangsung selama tiga hari di beberapa lokasi di negeri itu.

Pengarah My Classic Cars, Rukshan Munesinghe sebagai syarikat penganjur acara berkata setiap tahun acara ini diadakan di Perak yang sentiasa mendapat sambutan daripada kalangan pemilik kereta klasik.

"Acara ini sebagai menyediakan ruang buat pemilik kenderaan klasik memandu kenderaan mereka luar daripada kebiasaan serta menawarkan jarak kilometer (km) yang lebih jauh,"

"Seperti kita semua maklum, kebanyakan kereta klasik dijaga rapi dan hanya membuat penampilan bagi acara khas dan salah satunya ialah ke acara ini," katanya.

Kebanyakan kereta klasik ini yang dikeluarkan dari 1950-an hingga 1990-an antaranya yang 'rare' seperti Ford Escort 1300GT, Ferrari Mondial 1985, Datsun Bluebird 1963, Volvo 122S 1964, Volvo 144S 1974 dan Mini Cooper 1970.

Untuk cabaran mencari harta karun ia dibahagikan kepada 3 kategori Klasik (196-1975), Klasik Moden (1976-1990) dan Klasik Future (1991-2000) dengan tiga pemenang untuk setiap kategori.

CABARAN Kereta Klasik Perak ke-3 2024.
CABARAN Kereta Klasik Perak ke-3 2024.

Pada hari pertama (Jumaat) peserta memulakan cabaran dari RTC Perak di Simpang Pulai, menuju ke Taiping, Perak.

Di Taiping konvoi kereta klasik ini dibawa ke lokasi menarik seperti Antong Coffee, Taman Tasik Taiping dan Kuil Bodhi Ram bagi melengkapi cabaran hari pertama.

Pada hari kedua mereka bergerak ke Bandaraya Ipoh untuk cabaran hari seterusnya di kawasan sekitar dengan singgah di beberapa lokasi menarik.

Antaranya ke Tasik Cermin, Gua Tempurung, Ho Yan Hor, Jambatan Victoria dan Stesen Keretapi Ipoh serta diadakan kemudian majlis makan malam serta penyampaian hadiah kepada pemenang.

BERKUMPUL di Stadium Perak.
BERKUMPUL di Stadium Perak.

Negeri Perak dipilih kerana mempunyai pelbagai lokasi dan bangunan bersejarah seiring dengan konsep kereta klasik itu sendiri.

Pada hari Ahad, konvoi menyertai aktiviti berkumpul bersama Perak Classic Car Club (PCCC) dengan penyertaan lebih 40 buah kereta yang diadakan di Stadium Perak menambah kemeriahan acara untuk orang ramai melihat dengan lebih dekat kereta-kereta klasik yang dipamerkan.

Mengenai perancangan masa hadapan, penganjur akan meneruskan aktiviti sebegini dan merancang ke lokasi lain seperti Lumut, Perak.

ALFA Romeo Spider.
ALFA Romeo Spider.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 6:30 AM