Oleh Lizam Ridzuan


Sempena Hari Sukan Negara 2023 baru-baru ini, diadakan pameran kereta dan motosikal retro menerusi acara Retro Havoc di Putrajaya.

Lebih 320 kereta dan 50 motosikal daripada acara Retromania memeriahkan acara selama satu hari itu yang menarik minat golongan pelbagai usia.

Penganjurnya Mohamad Rosli Mohamad Said, 37 atau lebih dikenali sebagai Ali Kuoppa

berkata, mereka diberi peluang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengadakan Karnival Sukan Permotoran dengan mengumpulkan pelbagai kenderaan buat peminat program ini.

"Kami pamer dan perkenalkan kepada pengunjung kereta yang terlibat dengan sukan permotoran seperti rali, drift dan motosikal perlumbaan bagi mencambahkan lagi minat dan pengetahuan orang ramai terhadap aktiviti ini.

"Selain pameran kereta disediakan juga reruai produk jenama tempatan berkaitan kenderaan dan kelab kereta yang menjual pelbagai cenderahati," katanya.

Turut diadakan demo 2-Step dengan letupan bunyi ekzos pada kenderaan di setiap acara Retro Havoc dalam suasana lebih terkawal.

Peserta Santonie Parson, 42, yangmemiliki Mitsubishi Delica L300 generasi kedua 1984 berkata, dia sentiasa menyokong acara permotoran terutama membabitkan kenderaan retro dan klasik.

LEBIH 300 kereta menyertai acara Hari Sukan Negara.
LEBIH 300 kereta menyertai acara Hari Sukan Negara.

DIPENUHI kereta retro dan yang terkini.
DIPENUHI kereta retro dan yang terkini.

HAMDAN bersama kumpulan motosikal retro.
HAMDAN bersama kumpulan motosikal retro.

RERUAI pelbagai jualan cenderahati.
RERUAI pelbagai jualan cenderahati.

"Van ini pacuan empat roda dalam keadaan standard cuma saya tambah baik dengan meninggikan sebanyak 3 inci untuk memuatkan tayar 33 (standard 31) dan kebanyakan kerja dilakukan sendiri dan sehingga kini RM15,000 sudah dibelanjakan," katanya yang berasal dari Sabah.

Selain kereta, buat peminat motosikal retro, ada banyak jentera 'rare' menjadi idaman buat pengumpul dan peminatnya dalam acara itu.

Penganjur dan Penyelaras Retromania, Hamdan Ishak berkata, mereka menyertai acara Hari Sukan Negara untuk mempamerkan khazanah motosikal yang sudah tidak dikeluarkan lagi.

"Kebanyakan motosikal ini keluaran sehingga 90-an dan sebelumnya dan antara jentera menyertai acara kali ini ialah Kawasaki AR80, KRZ, LC125 dan RX-Z yang secara purata bernilai RM30,000 ke atas," katanya.

Menurut Hamdan, ramai berminat dengan motosikal lama kerana ada nostalgia tersendiri sama ada dahulu pernah memiliki atau mahu memilki dan kini selepas satu tempoh masa ada peluang dan kewangan maka ia kembali dicari untuk kerja restorasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 6:46 AM