SEAKAN kembali ke era 60-an, pelbagai model klasik Volvo memenuhi jalan raya sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini yang diadakan bersempena acara Volvo Car Malaysia Makers of Tomorrow.
Bermula di Bukit Kiara, Kuala Lumpur acara pelepasan itu dihadiri Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump dengan lebih 50 kenderaan termasuk model moden menyertai acara ini.
Antara model klasik yang turut serta ialah daripada Volvo P122S Amazon, P1800, 240, 850 dan untuk moden menerusi model XC40, XC60 Recharge dan kenderaan elektrik (EV) C40.
Selepas sarapan, peserta diberi taklimat sebelum sesi bergambar dan video diadakan untuk 'joyride' yang turut disertai oleh media dan pempengaruh.
Penulis berpeluang berada dalam kenderaan P122S Amazon 1966 milik S Veerakumar, 48, seorang jurutera dari Klang, Selangor yang meminati kenderaan klasik dan sudah lebih 10 tahun memiliki model itu.
Kami berkesempatan berbual tentang sejarah kereta itu selain bagaimana dia menjaga kereta klasik dan aktiviti yang mereka sering lakukan bersama pemilik lain.
Konvoi hari itu melalui Lebuhraya Persekutuan ke Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara ke hadapan Muzium Negara, Jalan Parlimen dan ke Jalan Semantan untuk ke lokasi acara di Bangsar Shopping Centre (BSC).
Konvoi bergerak lancar dan kelebihan pada pagi Sabtu trafik juga tidak sesak memudahkan perjalanan yang dirancang.
Sudah pasti banyak mata yang memandang kerana keunikan rekaan dan jarang sekali dapat melihat model ini di atas jalan.
Semua konvoi selamat sampai di BSC dan selepas itu hadir memeriahkan acara Makers of Tomorrow di ruang legar dengan pameran model klasik sehinggalah yang terkini terdapat di sana.
Pakej promosi istimewa bernilai RM20,000 sempena Volvo Car Malaysia memperingati 57 tahunnya bersama Malaysia dengan promosi untuk kedua-dua rangkaian elektrik sepenuhnya dan hibrid semasa Hari Merdeka dan Hari Malaysia juga ditawarkan.
Untuk rekod Volvo membuka kilang pemasangan mereka di Shah Alam pada 1966 bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah untuk tujuan eksport bagi pasaran serantau.
Model pertama dikeluarkan ialah Volvo 144 pada 1967 yang menjadi asas perkembangan jenama kenderaan dari Sweden itu di Malaysia.
Kilang pemasangan itu juga antara yang paling lama dan pelopor dalam industri automotif di Malaysia yang masih bertahan sehingga kini.