Lizam Ridzuan


HADIR dari serata negara ke Volkscamp 2023.
HADIR dari serata negara ke Volkscamp 2023.

LEBIH 130 kenderaan Volkswagen klasik antaranya seperti Beetle dan Combi menyerbu Janda Baik, Pahang, baru-baru ini untuk acara Volkscamp 2023.

Diadakan di Santai Riverside, pemilik yang datang dari serata negara menyertai acara yang pertama kali diadakan berkonsepkan perkhemahan dan santai.

Penganjurnya, Mohd Zaidi Mardzuki berkata, sebagai pemilik Volkswagen klasik model Combi 1969, acara ini dapat mengumpulkan kesemua model lama dan unik yang masih dijaga dengan baik dan rapi.

"Konsep santai seperti ini bukan sahaja tampil berbeza, malah sesuai buat kebanyakan pemilik yang sudah berkeluarga dalam melakukan aktiviti bersama-sama di lokasi yang dikelilingi alam semula jadi," katanya ketika ditemui.

Peserta Mohammad Sobri Abdullah dari Alor Star, Kedah berkata, dia berminat dengan jentera klasik yang dimulakan dengan motosikal dan kemudian jatuh 'cinta' dengan Volkswagen.

"Saya membeli Volkswagen ini dengan nilai RM10,000 dan memandunya ke merata lokasi termasuk ke Songkhla, Thailand dan kini aktif menyertai acara tempatan seperti Volkscamp kerana  ingin bertemu pemilik lain yang berkongsi minat yang sama," katanya yang memiliki Beetle 1968.

MODEL Combi antara yang hadir.
MODEL Combi antara yang hadir.

Pemilik Santai Riverside, Janda Baik dan Volkswagen Combi 1983, Mohamed Azhan Mohamed Rapeai berkata, acara ini sememangnya dinantikan pemilik kerana konsepnya yang santai dan lebih mesra.

"Lokasi ini sudah 13 tahun dibuka dan acara ini adalah impian saya dan akhirnya dapat juga berada dalam komuniti Volkswagen klasik dan melakukan aktiviti bersama. 

MOHD Zaidi
MOHD Zaidi

"Van Combi Brazil Panel ni dibeli pada harga RM48,000 kerana minat dan ia tampil unik  di atas jalan raya dan menarik perhatian ramai malah ia pernah menjelajah ke seluruh Semenanjung baru-baru ini," katanya.

Menurut penganjur, acara sebegini bakal diadakan lagi pada masa hadapan dengan skala yang besar dan yang terdekat bakal menganjurkan program 'cruise' beramai-ramai ke lokasi pilihan.

Selain model Combi dan Bettle, ada juga terdapat pemilik model lain seperti Type 3 Fastback dan Transporter menghadirkan diri ke Volkscamp 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 7:00 AM